Empat pemimpin Parti KeADILan Nasional dikehendaki menyerah diri kepada polis menjelang esok atau menghadapi tangkapan. Sementara tiga lagi sudah ditangkap dalam tempoh 12 jam mulai pukul 3 pagi tadi.

Mereka yang masih dicari polis ialah Naib Presiden Chua Tian Chang, Ketua Pemuda Bahagian Subang Lokman Noor Adam, Ketua Bahagian Bukit Bintang Sanusi Abdullah dan Setiausaha Kerja Pemuda Zahid Mat Arip.

Ketua Penerangan Roslan Kasim ditahan awal pagi di rumahnya di Gombak ketika melayari internet, dan diikuti tangkapan ke atas Penolong Setiausaha Pemuda, N. Gopalan Krishnan di Rantau Panjang pada jam 11:30 pagi.

Gopalankrishnan ditahan dalam siri kempen meraih sokongan membawa penyokong partinya ke Kuala Lumpur untuk menghadiri perhimpunan '14 Hitam' yang dijadualkan diadakan di Masjid Negara esok.

Ketua Pemuda Mohamed Ezam Mohd Nor pula ditahan di sebuah masjid di Sungai Petani selepas menunaikan sembahyang Jumaat tengah hari tadi. Beliau sempat menyampaikan ucapan selama beberapa minit sebelum dibawa oleh sekumpulan kakitangan polis.

Roslan yang tidak diketahui berada di mana selepas ditahan dibawa ke mahkamah magistret jam 3:30 petang tadi. Beliau dikenakan tahanan reman selama tujuh hari di lokap Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di bawah Seksyen 27 (3) Akta Polis untuk membantu siasatan berhubung "menghasut orang ramai mengadakan perhimpunan tanpa permit."

Sementara itu, polis mengerahkan kakitangannya berkawal di semua tempat penting dan tumpuan orang ramai di bandar Kuala Lumpur mulai pagi ini. Kira-kira 50 trak dan jip polis kelihatan di sekitar Dataran Merdeka, Masjid Negara, Pasar Seni, Istana Negara dan menara berkembar KLCC tengah hari tadi.

Sumber-sumber memberitahu malaysiakini semua plaza tol ke arah bandaraya juga dikawal oleh anggota keselamatan.

Sejak beberapa hari lalu polis menasihatkan orang ramai agar tidak memasuki bandar raya jika tidak ada urusan mustahak. Pemimpin-pemimpin kerajaan dan Umno juga menasihatkan orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan tersebut.

Beberapa aktivis Pemuda KeADILan menganjurkan program itu sempena menyambut ulang tahun pertama bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijatuhkan hukuman penjara.

Mereka dijangkakan bergerak mulai petang dan malam ini dari seluruh negara melalui keretapi dari utara, timur dan selatan Semenanjung.

Pada sebelah tengah hari esok, beberapa pemimpin Pemuda Barisan Alternatif pula dikatakan akan mengetuai rombongan dari semua stesen LRT utama di pinggir Kuala Lumpur sebelum memulakan program itu di Masjid Negara jam 3 petang.

Sumber-sumber memberitahu sebuah jip polis dengan anggaran enam hingga lapan kakitangan mengawal keadaan di setiap stesen itu mulai pagi tadi.

Kebanyakan polis yang berkawal di semua tempat kelihatan membawa senjata automatik.