Parti Gerakan tidak akan mengikut langkah MCA yang menolak semua jawatan dalam kerajaan serta menutup pusat khidmat berikutan prestasi teruk dalam pilihan raya umum lepas, kata Timbalan Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn.

Ini, katanya, kerana parti itu percaya kepada dasar dan ideologi yang dibawa BN.

"Hanya kerana anda kalah teruk, tidak bermakna anda terus saja menolak jawatan. Anda boleh menolak jawatan jika anda mempunyai perbezaan dasar atau tidak bersetuju dengan dasar kerajaan, ya...anda mesti tolak," katanya kepada pemberita di Ipoh hari ini.

Chang yang juga Pengerusi Gerakan negeri Perak berkata beliau tidak bersetuju dengan pendapat bahawa Gerakan perlu keluar daripada BN.

Gerakan tidak akan meninggalkan BN yang kini mempunyai dimensi baharu di bawah teraju Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, katanya.

- Bernama