Teruskan perhimpunan esok, gesa Tian Chua dan siswa
Perhimpunan '14 Hitam' sempena memperingati genap setahun bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijatuhkan hukuman penjara akan tetap diteruskan.
Naib Presiden Parti KeADILan Nasional, Tian Chua, yang kini dikehendaki polis berhubung perhimpunan itu berkata, "kami tidak akan berjaya diugut." Beliau juga berkata "bukan tugasnya melaporkan diri kepada polis, tetapi menjadi tanggungjawab polis mencarinya (untuk ditahan)."
Sementara itu Majlis Pelajar Malaysia (MPM) juga mendesak orang ramai meneruskan perhimpunan itu sebagai membantah tindakan kerajaan menahan beberapa pemimpin KeADILan hari ini.
Ketua Penerangan Ruslan Kassim, Ketua Pemuda Mohamed Ezam Mohd Nor dan Penolong Setiausaha Pemuda N. Gopalankrishnan ditahan di tempat berasingan hari ini. Sementara empat lagi pemimpin dikehendaki menyerah diri menjelang esok atau menghadapi tangkapan.
Setiausaha MPM, Ahmad Zaki Yamani Zainon, berkata kepada malaysiakini bahawa penangkapan itu dan juga kehadiran sejumlah besar anggota keselamatan di Kuala Lumpur menunjukkan 'regim' Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed, tidak bertolak ansur terhadap permintaan rakyat.
Kerajaan, katanya lagi, menunjukkan "wajahnya yang sebenar yang suka menindas."
Aktivis pelajar itu menambah bahawa budaya takut yang cuba ditanam tidak akan melemahkan golongan muda.
"Sejak Anwar dipecat, sentiasa ada pemimpin baru muncul. "Ia (tindakan kerajaan itu) tidak akan melemahkan kami," kata Zaki yang dipecat dari Universiti Teknologi Mara pada bulan Mei kerana didakwa terlibat dalam perhimpunan haram 14 April tahun lalu.

