Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Permas, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengangkat sumpah sebagai menteri besar Johor yang baru hari ini.

Mohamed Khaled yang juga bekas menteri pengajian tinggi, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Dewan Undangan Negeri, Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, di Johor Baharu kira-kira 10.40 pagi ini.

Beliau mengambil alih jawatan menteri besar Johor daripada Datuk Abdul Ghani Othman yang memegang jawatan itu selama 18 tahun bermula daripada 1995.

Turut mengangkat sumpah hari ini ialah sembilan Adun daripada Barisan Nasional (BN) bagi mengisi sembilan jawatan sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini, BN Johor berjaya memenangi 38 kerusi DUN daripada 56 yang dipertandingkan dan 21 daripada 26 kerusi parlimen.

Pada PRU-13 lepas, Mohamed Khaled memenangi kerusi DUN Permas selepas menewaskan calon PAS, Syed Othman Abdullah dengan majoriti undi sebanyak 5,752, manakala Abdul Ghani pula tewas bertanding di kerusi parlimen Gelang Patah menentang Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Mohamed Khaled ketika berucap pada majlis angkat sumpah itu berkata beliau bersyukur atas kepercayaan yang diberikan Sultan Johor untuk memegang jawatan Menteri Besar Johor.

"Patik bersyukur dan menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas limpah perkenan dan kepercayaan Tuanku kerana melantik patik sebagai menteri besar. Sesungguhnya segala amanah dan tanggungjawab akan dilaksanakan dan dipelihara sebaiknya dalam melaksanakan tugas sebagai menteri besar," katanya.

Pada majlis yang turut dihadiri Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, anggota Majlis Jumaah Diraja dan Adun lain yang termasuk daripada pembangkang, beliau berjanji akan menjalankan tugas dengan jujur demi rakyat.

Mohamed Khaled turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Johor kerana memberikan mandat baru kepada BN untuk terus memimpin dan mentadbir negeri di selatan tanah air ini dengan adil.

"Kerajaan negeri akan terus membela kepentingan dan penuhi harapan segenap lapisan masyarakat," katanya.

Sementara itu sembilan Adun yang dilantik sebagai anggota Exco termasuk dua yang dilantik semula serta seorang wakil rakyat daripada MCA yang dilantik sendiri oleh Sultan Johor bagi mewakili masyarakat Cina di Johor.

Sultan Johor mempunyai hak melantik sendiri anggota exco kerajaan negeri di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895.

MCA sebelum ini memutuskan untuk menolak sebarang jawatan di peringkat kerajaan persekutuan dan negeri berikutan kekalahan teruk parti itu pada PRU13.

Mereka yang dilantik semula sebagai anggota Exco ialah Md Jais Sarday (DUN Mahkota) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Asiah Ariff (DUN Johor Lama) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga.

Wakil masyarakat Cina yang dilantik sebagai anggota Exco ialah Datuk Tee Siew Kiong (DUN) Pulai Sebatang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan.

Tee juga merupakan Setiausaha Publisiti Kebangsaan MCA.

Lain-lain anggota exco termasuk Hasni Mohamad (Benut) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan R.Vidyanathan (DUN Kahang) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia.

Selain itu, Abdul Mutalib Abdul Rahim (DUN Layang-Layang) pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agama, Latif Bandi (DUN Endau) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Ismail Mohamad (DUN Bukit Serampang) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani.

Ketua Pemuda Umno Johor Datuk Zulkurnain Kamisan yang juga anggota DUN Sri Medan pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan.

-Bernama

ADS