Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Saya ingin merujuk kepada satu laporan media mengenai kenyataan Datuk Ruhanie Ahmad, penulis blog sosio-politik Kuda Kepang dan calon doktor falsafah (PhD) dalam bidang geopolitik dan kajian keselamatan di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dalam satu pembentangan di sebuah forum anjuran Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) pada 16 Mei yang lalu, Datuk Ruhanie Ahmad melemparkan persoalan apakah Pakatan Rakyat, atau PKR lebih tepat, "menjadi ejen pertukaran rejim bagi menguntungkan Amerika Syarikat".

NONE Terdapat dua kekaburan pada dakwaan, pertanyaan atau hipotesis di atas. Kekaburan pertama melibatkan kerangka kajian Ruhanie ( kiri ).

Setiap kajian akademik perlu didatangkan bukti nyata iaitu hasil penelitian yang mendalam dan panjang.

Sebagai ahli akademik, saya tidak berminat dengan dakwaan-dakwaan berasaskan teori konspirasi.

Dalam sesi soal jawab forum tersebut, saya telah bertanya apakah framework atau metodologi akademik yang beliau gunakan untuk mencapai kesimpulan tersebut.

Ini penting kerana Ruhanie membuka pembentangan beliau dengan penegasan yang beliau bukan lagi ahli politik tetapi bakal menamatkan pengajian PhD beliau dalam bidang kajian keselamatan.

Ini memberi isyarat bahawa pembentangan beliau adalah pembentangan akademik dan dapatan beliau adalah dapatan akademik.

Kerangka ilmiah apa?

Namun demikian, Ruhanie tidak dapat menjawab komponen paling penting dalam satu pembentangan atau kajian akademik iaitu apakah kerangka ilmiah beliau.

Kekaburan kedua ialah, sebahagian besar hipotesis tersebut adalah bersandarkan tulisan Tony Cartalucci berjudul "Malaysia: Failure of US to Subvert the Elections and Install a 'Proxy Regime': US 'Pivot' Toward Asia Trips in Malaysia.

Adalah penting dalam sebuah kajian akademik yang berwibawa untuk mendatangkan penyangkalan pihak yang dituduh.

Ini kerana sesebuah kajian akademik bukanlah tulisan di blog atau tulisan popular di media. Kajian akademik meraikan dapatan dari dua pihak yang berseberangan.

NONE Dalam hal ini, tulisan Tony Cartalucci bagi pihak Global Research, bertarikh 9 Mei lalu perlu ditekuni. Badan Global Research: Centre for Research on Globalization diasaskan oleh Profesor Michel Chossudovsky.

Beliau salah seorang penandatangan Kuala Lumpur Initiative to Criminalise War dalam tahun 2005, yang diinisiatif oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ( atas ).

Hubungan akrab mereka berdua ini juga diterjemahkan menerusi pelancaran sebuah buku Chossudovsky oleh Tun Dr Mahathir sendiri. Ia dilakukan di Taman Tasik Perdana.

Dua insiden ini tentu sahaja mencairkan hujah Datuk Ruhanie Ahmad, kerana terdapatnya sentimen politik melampaui garis rasional akademik.

Kajian sendeng, berat sebelah

Ia juga menambah elemen konspirasi yang bukan merupakan satu sandaran yang baik dalam tulisan akademik.

Selain itu, Tony Cartalucci yang menulis bagi pihak Global Research ialah seorang pengarang yang terkenal dengan teori-teori konspirasi yang tidak dapat dibuktikan.

Salah satu dakwaan beliau yang menjadi jenaka dalam kalangan sarjana international relation adalah apabila beliau mengaitkan pengganas Sulu yang menceroboh Lahad Datu, Sabah pada Mac 2013 lepas sebagai sebahagian dari Free Syrian Army dan merupakan proksi Amerika Syarikat dan Arab Saudi.

NONE Usaha mengaitkan pencerobohan salah satu keluarga Kiram tersebut dengan gerakan salafisme di Timur Tengah menimbulkan tanda tanya kerana terdapatnya kelompongan atau missing link .

Sesebuah tulisan atau pembentangan akademik yang berkredibiliti haruslah dipasak oleh kerangka ilmiah yang sesuai, relevan dan munasabah.

Kajian akademik juga harus tidak bersikap berat sebelah dan sendeng. Lebih penting, teori konspirasi tidak ada tempat signifikan dalam kajian akademik.

Sesebuah kenyataan akademik harus disandar dan dirujuk kepada dapatan kajian yang berwibawa dan telah diperiksa secukupnya.

Oleh kerana itu saya berpandangan kenyataan Ruhanie dalam forum anjuran UMCEDEL semalam tidak akademik, dan bersifat sensasi.


Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini .

ADS