Zam: Kempen Najib nampak luar biasa, pura-pura

   

Dalam tulisan di blognya, zamkata.blogspot.com semalam, beliau berkata usaha Najib untuk menonjolkan diri sebagai pemimpin popular menyebabkan perdana menteri itu dilihat sebagai seorang yang meniru orang lain dan bukannya seorang pemimpin.

Katanya, beliau juga melihat Umno dalam keadaan "panik" apabila timbul cadangan untuk menjadikan BN sebagai sebuah parti tunggal.

"Sesuatu cadangan yang serius patut dikemukakan dalam keadaan tenang bukan dalam keadaan masih ribut. Tidakkah ini menunjukan pemimpin-pemimpin UMNO berada dalam keadaan panik.

"Jika mahu uji pandangan akar umbi pun bukanlah masa sekarang ini," tulis Zainuddin yang juga pernah bertugas sebagai wartawan Utusan Melayu.

Beliau mengkritik pengedaran kain rentang 'I love PM' pada kempen pilihan raya umum ke-13 yang menurutnya mungkin diilhamkan oleh penasihat Najib.

Katanya, tindakan tersebut hanyalah untuk menunjukkan kepada Najib bahawa pengerusi BN itu telah mendapat sokongan khususnya daripada masyarakat Cina di Malaysia.

Sikap yang ditunjukkan oleh golongan pengundi berkenaan dalam pilihan raya umum lalu adalah sebaliknya.

Dalam tulisan itu, Zainuddin berkata Najib ditonjolkan sebagai pemimpin yang hidup seperti rakyat biasaa dan sanggup makan dan minum bersama rakyat antaranya di gerai, kafe dan gerai mamak.

"Penasihatnya berfikir bahawa gambar ini akan menunjukan Najib yang elitis dari keluarga bangsawan hidup seperti rakyat biasa tetapi kepada rakyat adalah 'luar biasa' kerana tidak pernah mereka terserempak dengan Najib di tempat-tempat begini.

"Lebih luar biasa apabila diiringi oleh pengawal dan pembantu peribadi. Nampaklah kepura-puraan," kata Zainuddin.

"Kata mantan Menteri Kewangan Daim Zainuddin, Anwar Ibrahim adalah clown (lebih tepat dipanggil Raja Lawak). Kata saya, Najib adalah imitator. Penasihatnya berkepala di awan tanpa kaki mencecah daratan. Inilah penasihat yang patut disingkirkan."

Zainuddin berkata beliau menerima kiriman SMS daripada seorang kawan dalam dunia korporat yang mendakwa tindakan menunjukkan kain rentang 'I Love PM' adalah "menjijikan" dan meminta Najib berhenti bersikap seperti pemimpin mahasiswa.

Zam yang juga karyawan tamu Universiti Utara Malaysia berkata sepatutnya Najib sedar negara ini masih belum keluar dari keruncingan politik dengan cabaran daripada "raja lawak dan kepala cauvanisme Cina" yang tidak dinamakannya.

"Negara belum keluar dari keruncingan politik; keselamatan diancam oleh communist surrogate, tiap hari ada tunjuk perasaan cina baju  hitam cemarkan pilihan raya yang sah, berbagai laporan palsu polis dibuat; blackout, dakwat padam," katanya.

[Baca berita penuh]

Malaysiakini
terkini untuk anda