Polis menahan empat penuntut kolej swasta yang disyaki anggota sindiket mencuri motosikal di sebuah rumah di Kampung Sungai Karang, di Kuantan malam tadi.

    

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Pahang Supt Mohd Haris Daud berkata dalam serbuan jam 8.30 malam itu keempat-empat suspek yang berusia dalam lingkungan 19 dan 20 tahun itu sedang leka meleraikan komponen sebuah motosikal di Putra Square.

    

"Kami percaya dengan penangkapan empat suspek terbabit, kami dapat menyelesaikan beberapa lagi kes motosikal yang dilapor hilang baru-baru ini," katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.

    

Beliau berkata pihaknya turut menerima laporan kehilangan sebuah kereta dan tiga motosikal yang diletakkan di perkarangan Stadium Darul Makmur pada malam perlawanan separuh akhir kedua Piala FA 2013 Pahang dan Johor Darul Takzim dibatalkan, Selasa lepas.

    

Terdahulu katanya, laporan dibuat seorang lelaki berusia 28 tahun dari Pekan pada jam 11.15 malam selepas menyedari kereta jenis Proton Saga miliknya hilang sebelum disususli tiga lagi laporan melibatkan motosikal hilang di lokasi sama.

Mohd Haris berkata polis masih menjalankan siasatan kes-kes berkenaan mengikut Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan.

Sementara itu, menurut Supt Mohd Haris, dua pelajar lelaki dilaporkan hilang sejak Ahad lepas selepas keluar dari rumah mereka di Kampung Permatang Cengkeroh, di Pekan.

    

Menurutnya, pelajar terbabit, Abdul Razak Abdullah, 12 dan Aminuddin Ismail, 13, dipercayai bersahabat.

    

"Menurut laporan yang dibuat keluarga mereka, kedua-dua pelajar terbabit meminta izin untuk keluar dari rumah.

    

"Abdul Razak dipercayai keluar rumah kira-kira jam 9 pagi dengan memberi alasan hendak melihat orang menyembelih lembu manakala Aminuddin keluar pada jam 8 pagi dengan memaklumkan keluarga, beliau mahu ke bandar Rompin," katanya.

    

Beliau berkata kedua-dua keluarga mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Pekan Selasa lepas setelah mendapati pelajar terbabit tidak pulang.

Katanya sehingga kini, kedua-dua pelajar itu masih belum ditemui dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka diminta melapor kepada pihak polis.

    

- Bernama