Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata beliau mempunyai hak untuk menolak kempen tidak beretika dan memalukan oleh DAP bahawa beliau perlu meletak jawatan sebagai ketua menteri.

Taib yang juga pengerusi BN negeri dan presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata ini kerana  kerajaan negeri Sarawak di bawah kepimpinannya mendapat mandat yang jelas untuk memerintah sehingga pilihan raya negeri akan datang yang dijangka pada 2016.

    

"Saya berbesar hati dengan sokongan rakyat dan akan terus berkhidmat kepada mereka berdasarkan mandat yang mereka beri kepada saya dan kerajaan saya pada 2011 (pilihan raya negeri)," katanya.

    

Taib, yang juga Menteri Kewangan Sarawak dan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Sarawak berkata demikian semasa menggulung perbahasan di persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak semalam.

    

Beliau berkata DAP tidak memperoleh mandat dan restu daripada rakyat untuk membuat gesaan itu dan dalam semangat sebenar demokrasi parti itu perlu menyedari bahawa tindakan mereka untuk memberi gambaran buruk terhadap kerajaan

negeri dan kepimpinannya itu tidak diendahkan sama sekali oleh pengundi.

    

Katanya keputusan pilihan raya negeri 2011 adalah BN Sarawak bukan sahaja memenangi undi popular tetapi juga majoriti lebih dua pertiga manakala parti yang diterajuinya mencapai kejayaan 100 peratus dalam semua kerusi yang ditandingi.

    

"Pilihan raya negeri semestinya bebas dan adil kerana tidak ada satupun petisyen pilihan raya difailkan untuk mencabar mana-mana keputusan bagi kerusi yang dimenangi BN negeri," katanya.

    

Taib berkata beliau menghormati dan menyanjung prinsip kebertanggungjawaban beliau terhadap dewan yang mulia dan penduduk Sarawak, yang berulang kali memberi beliau mandat untuk memimpin kerajaan negeri sejak 1981.

- Bernama