MB Perlis mahu penjawat awam komited, displin masa
Pada perhimpunan bulanan pertama bersama anggota perkhidmatan awam hari ini Menteri Besar Perlis yang baru Azlan Man menegaskan beberapa perkara yang harus dijadikan amalan para penjawat awam di negeri ini.
Pertama, beliau mahu anggota perkhidmatan awam supaya memberi komitmen terhadap tugas dan meningkatkan disiplin masa kerana setiap masa yang berlalu tidak akan berulang.
"Jangan leka dalam keselesaan bertugas di Perlis kerana tiada kesesakan lalu lintas di sini. Mesti bergerak cepat," katanya dalam ucapan kepada anggota perkhidmatan awam persekutuan dan negeri yang hadir di Kangar.
Azlan mahu anggota perkhidmatan awam membebaskan diri daripada kepompong yang menyebabkan mereka tidak dapat melihat jauh ke hadapan dan sama-sama membangunkan diri secara berakhlak.
Katanya mulai hari ini perhimpunan itu akan berlangsung dengan lebih pantas kerana dalam ucapan, nama-nama ketua jabatan yang hadir tidak akan disebut, kecuali pegawai terkanan.
"Memadailah dengan hanya menyebut nama seorang pegawai terkanan dan pengacara majlis semasa memulakan ucapan," kata Azlan.
Menteri besar juga mahu penjawat awam bersikap proaktif termasuk memainkan peranan sebagai fasilitator kepada pelabur bagi memastikan Perlis menjadi negeri mesra pelabur.
"Jangan bergerak seperti siput. Perlu laju untuk capai wawasan," katanya.
Perhimpunan itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Azizan Hamid dan semua anggota Exco kerajaan negeri.
Azlan berkata Perlis akan terus menjadi negeri berdefisit jika langkah drastik tidak dilakukan bagi mengubah dimensi negeri yang sedang memberi fokus ke arah pencapaian wawasan negeri maju pada 2015 dan negeri bandar raya pada 2030.
Berdasarkan pembentangan Belanjawan 2013, Perlis dijangka mengalami defisit sebanyak RM105.53 juta tahun ini kerana jumlah hasil negeri ialah sebanyak RM76.12 juta manakala perbelanjaan RM181.65 juta.
-Bernama

