Polis Pahang yakin tahanan yang meloloskan diri ketika dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Kuantan pada Khamis lepas, akan diberkas semula dalam masa terdekat.

Ketua polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata usaha memburu tahanan itu kini dipergiatkan dan polis percaya lelaki berkenaan masih berada di Pahang.

"Kita mengingatkan orang ramai supaya tidak cuba membantu atau melindungi tahanan berkenaan dan polis tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang bertindak melindungi banduan terbabit," katanya kepada pemberita di Kuantan, hari ini.

Dalam kejadian 1.30 petang Khamis lepas, Muhammad Juli Hadi, 24, yang beralamat di Kampung Jaya Baru, Bukit Bading, Ajil, Terengganu bertindak melompat dari trak polis dan melarikan diri ketika dia dan 10 lagi dibawa keluar daripada kompleks mahkamah berkenaan.

Kejadian berlaku ketika polis dalam proses membawa tahanan terbabit ke Penjara Penor.

Lelaki itu didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan selepas ditangkap pada 20 Mac lepas atas kesalahan menyamun, namun dia mengaku tidak bersalah dan mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 11 dan 12 Julai ini.

- Bernama