Penyokong reformasi yang menyertai bantahan aman di sekitar Masjid Negara dan Jalan Tuanku Abdul Rahman petang tadi meneruskan perhimpunan di Kampung Baru.

Bagaimanapun sepasukan anggota polis antirusuhan berjaya menyuraikan sejumlah lebih 50 orang yang berkumpul di simpang masjid kampung itu, tempat bersejarah yang sering digunakan untuk perhimpunan menyokong bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sepanjang Oktober dan November 1998.

Sebuah helikopter polis juga berlegar di ruang udara kawasan itu sambil menyuluh ke lokasi perhimpunan. Tiada tangkapan dilaporkan. Lokasi itu kini 'ditawan' oleh polis dan penyokong reformasi gagal berkumpul semula.

Bagaimanapun, seorang aktivis utama reformasi dan juga Naib Presiden Parti KeADILan Nasional, Tian Chua, petang tadi meminta mereka menamatkan perhimpunan selepas sembahyang Maghrib.