Kerajaan Selangor hari ini menafi mengeluarkan sebarang lesen perlombongan batu kuartza di Permatang Kuartza, Gombak.

    

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kegiatan perlombongan kuartza itu adalah haram dan ia dijalankan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

    

"Susulan itu, kita telah pun mengarahkan Jabatan Mineral dan Geosains (Selangor) menyediakan laporan terperinci jumlah batu kuartza yang telah dikeluarkan dari kawasan itu dan kerosakan (alam sekitar) akibat perlombongan haram ini," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

    

Beliau berkata kegiatan perlombongan itu berlaku berikutan anggota penguatkuasa tidak mampu menjalankan tugas pemantauan secara menyeluruh di Permatang Kuarza ekoran kawasan tersebut terlalu luas.

    

"Saya sudah mengarahkan Pejabat Tanah dan Daerah Gombak serta Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat supaya meningkatkan pemantauan di kawasan Permatang Kuartza.

    

"Mereka yang didapati terbabit menjalankan perlombongan haram ini boleh didakwa atas kesalahan...menceroboh dan mencuri," tambahnya.

- Bernama