'Pertelingkahan dengan Utusan tak berkaitan AirAsia X'
Pengerusi AirAsia X Rafidah Aziz sekali lagi berkata, pertelingkahan antara Pegawai Eksekutif AirAsia X Azran Osman Rani, Utusan Malaysia dan beberapa NGO Melayu tidak akan menjejaskan syarikat itu.
"Menguruskan syarikat bukan dengan tweet. Ia berjalan dengan lembaga dan pengurusan yang sepatutnya dan berfikir tentang setiap keputusan yang akan dibuat dan dibawa kepada kelulusan lembaga," katanya sambil menegaskan pendiriannya itu atas kapasiti peribadi.
"Ia tidak berkaitan sama sekali. Saya harap media akan berhenti mensensasikan perkara yang kecil, dan perkara kecil ini hal peribadi dalam perkara itu."
Beliau berkata demikian ketika ditanya perkara itu ketika melancarkan prospektus AirAsia X hari ini.
Azran sebelum ini yang dilaporkan meluahkan rasa jengkelnya dengan pendirian pengarang Utusan yang menurutnya tidak mewakili Melayu dan bersifat perkauman.
Pandangan Azran yang dibuat menerusi laman Twitter itu mengundang reaksi pelbagai pihak - dengan sebahagian menyatakan sokongan dan segelintir yang lain menuduhnya tidak mengenang budi akhbar Utusan .

