Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

Isu Altantuya: Jawapan menteri tiada makna, kata MP

Zulaikha Zulkifli

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Anggota Parlimen Subang R Sivarasa berkata, kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim bahawa kes kematian warganegara Mongolia Altantuya Shaariibuu sudah "ditangani" tidak memberi sebarang makna.

Bekas naib presiden PKR itu berkata, ini kerana kes itu masih berjalan dan pembunuh sebenar bagi kes itu masih lagi belum diketahui hingga hari ini.

NONE "Bila Rohani kata bahawa kes pembunuhan Altantuya telah diselesaikan, bagi saya perkataan itu tidak memberi apa-apa makna bagi majoriti rakyat Malaysia kerana keadilan masih belum dicapai dalam kes ini.

"Saya harap ini satu peringatan pada kerajaan Umno/BN supaya fikir lebih mendalam tentang hal ini. Mereka perlu faham ini boleh ditangguhkan tapi tak boleh lari dari isu.

"Satu hari nanti akan ada keadilan untuk Altantuya," katanya dalam sidang media ketika membuat lawatan ke rumah balu penyiasat persendirian, P Balasubramaniam.

Sivarasa berkata demikian bagi mengulas kenyataan Rohani Selasa lalu yang mengatakan bahawa kes Altantuya telah ditangani.

Rohani yang enggan mengulas ketika ditanya mengenai kes tersebut juga berkata, beliau tidak menerima apa-apa memorandum dari delegasi Mongolia ketika persidangan kemuncak wanita global 7 Jun lalu yang menuntut jawapan berhubung kematian Altantuya.