ADUN Damansara Utama , Yeo Bee Yin mempersoalkan tindakan pihak polis meluluskan pasukan polis bantuan kepada syarikat pemaju perumahan tetapi didakwa bersikap sebaliknya terhadap negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

tony pua yeo bee yin crime police 160613 Semalam, The Star melaporkan bahawa syarikat pemaju SP Setia

menerima kumpulan pertama 120 anggota polis bantuan, yang akan ditempatkan di projek-projek perumahannya di Johor, Pulau Pinang dan Lembah Klang.

"Jika SP Setia, Sunway dan semua pemaju ini boleh mengupah polis bantuan, mengapa tidak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)?" kata Yeo (kanan) sambil mendesak kerajaan supaya segera meluluskan permohonan tersebut.

Beliau menegaskan demikian dalam satu sidang akhbar hari ini bersama sekumpulan pemilik restoran di Petaling Jaya, yang bimbang dengan rompakan yang mensasarkan mereka.

Beliau berkata, MBPJ telah memohon kepada ketua polis negara untuk menubuhkan pasukan polis bantuan pada 2009 tetapi ia ditolak pada tahun berikutnya.

MBPJ memohon sekali lagi pada tahun 2012 dan masih belum menerima sebarang jawapan. Majlis Bandaraya Subang Jaya juga berdepan dengan nasib yang sama.

Manakala, katanya, Majlis Perbandaran Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Perbandaran Melaka (MBM) sudahpun mempunyai pasukan polis bantuan mereka.

"Jika MBJB dan MBM, yang berada di negeri di bawah  BN boleh mendapatkan polis bantuan mereka, mengapa tidak MBPJ di bawah Pakatan Rakyat? Adakah mereka mengutamakan politik mereka daripada keselamatan penduduk di sini? "Katanya.

[Baca berita penuh]