Tian, peguam ditangkap selepas diekori 2 jam
Selepas beberapa hari dicari dan selepas dua jam dikejar polis, akhirnya Naib Presiden Parti KeADILan Nasional ditangkap di sebuah kompleks membeli-belah di Petaling Jaya. Beliau ditahan di sebuah restoran di bangunan itu ketika sedang makan tengah hari bersama tujuh orang rakannya pada jam 2:30 petang.
Tian ditahan di bawah Seksyen 117 Kanun Siasatan Jenayah kerana dipercayai terlibat menyusun perhimpunan '14 Hitam' semalam. Beliau ditahan oleh Inspektor Baharuddin Nordin yang datang bersama sekurang-kurangnya sembilan kakitangan polis berpakaian biasa.
Sementara itu peguam aktivis reformasi ini, Cheah Kah Peng, ditahan di Balai Polis Petaling Jaya ketika cuba membantah kekasaran polis kepada Tian. Beliau dikatakan "mengganggu tugas polis."
Cheah dibebaskan dengan jaminan polis jam 6 petang tadi. Beliau dikehendaki melaporkan diri di bali yang sama 16 Mei depan.
Tian kemudiannya dibawa ke Ibupejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur. Lebih 10 penyokongnya turut menyertai pemimpin itu ke IPK.
Sebelum itu turut kelihatan Ketua Pemuda Mohamed Ezam Mohd Nor digari bersama Ketua Penerangan Ruslan Kassim dibawa keluar dari bangunan polis itu.
Tian mengadakan sidang akhbar di Ibupejabat KeADILan di Jalan Damansara pada jam 12 tengah hari. Ketika itu sekumpulan polis yang berpakaian biasa telah kelihatan di luar bangunan.
Pasukan polis ini mengejar Tian dengan tiga buah kereta dan beberapa buah motosikal. Menurut sumber, komunikasi antara pemimpin muda ini dengan rakan-rakannya turut 'bocor' apabila beberapa lelaki yang dipercayai polis berpakaian biasa sudah menunggu di kompleks membeli-belah itu apabila mereka sampai.
Menurut sumber, Tian ditahan di depan orang ramai di bangunan itu seperti yang dirancangkan.
Seramai 47 orang, termasuk dua wanita dan empat pelajar, yang ditahan di Masjid Negara dan Jalan Tuanku Abdul Rahman semalam disimpan di 10 balai polis di sekitar bandar raya. Mereka akan dibawa ke mahkamah magistret Kuala Lumpur esok.
Tian ditahan di Balai Polis Salak South, Sungai Besi. Sementara Ezam ditahan di Balai Polis Jalan Stadium dan pemimpin-pemimpin lain ditahan berasingan.
Ezam dan Penolong Setiausaha pergerakan itu, Gobalankrishnan Nagapan kini yang masing-masing ditahan di Sungai Petani, Kedah dan Rantau Panjang, Kelantan pada Jumaat lalu turut dihadapkan ke mahkamah magistret esok.
Aktivis reformasi Abdul Malek Hussain yang ditahan di Bukit Bintang, semalam turut dibawa ke mahkamah esok.
Menurut laporan akhbar Straits Times Singapura hari ini, Tian dipercayai memantau pergerakan kumpulan penyokong reformasi semalam dari dalam sebuah kereta Mercedes bercermin gelap yang diletakkan di sekitar pinggiran ibu kota.
Lebih 400 penyokong reformasi berkumpul di Masjid Negara selepas sembahyang Zohor dan lebih 500 berada di Kompleks Sogo dan Pertama menjelang lewat petang. Mereka padal awalnya merancang berarak ke Istana Negara untuk menyampaikan satu memorandum selepas berhimpun di masjid itu.
Bagaimanapun, kehadiran polis yang sebegitu ramai di ibu kota sejak Jumaat dan kawalan ketat pihak keselamatan di beberapa tempat strategik di sekitar masjid menghalang orang ramai berkumpul.

