KDN wajibkan kad perakuan akhbar internet
Syarikat akhbar Internet perlu mempunyai permit penerbitan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum mereka diberikan kad perakuan akhbar, kata Timbalan Pengarah Bahagian Akhbar dan Perhubungan Awam Razali Aziz hari ini.
Beliau berkata demikian kepada malaysiakini apabila diminta memberi penjelasan mengenai penolakan permohonan kad akhbar Malaysiakini.com.
Menurut beliau, polisi ini bukan sesuatu yang baru kerana semua media massa termasuk akhbar Internet memerlukan permit KDN sebelum memperolehi kad perakuan akhbar tersebut.
Pagi ini, malaysiakini menerima surat daripada Resat Salleh, Pengarah Bahagian Akhbar dan Perhubungan Awam, bagi pihak Ketua Pengarah Penerangan Malaysia bahawa permohonan malaysiakini untuk mendapat kad perakuan akhbar tidak dapat diluluskan.
Alasan yang tercatat dalam surat itu menyebutkan bahawa Malaysiakini.com bukan sebuah syarikat akhbar yang mempunyai permit penerbitan yang dikeluarkan oleh KDN.
"Nama (Malaysiakini.com) tiada dalam senarai nama KDN, jadi memang tak dapatlah," kata Razali Aziz melalui telefon.
Seterusnya, Razali juga berkata bahawa beliau tidak pasti akta yang sepatutnya mengawasi akhbar Internet.
Walau bagaimanapun, beliau juga menjelaskan bahawa Malaysiakini.com boleh membuat rayuan kepada KDN untuk mendapat kad perakuan akhbar.
Kad perakuan akhbar yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan diperlukan wartawan dan jurugambar untuk menghadiri upacara-upacara kerajaan, sidang-sidang akhbar dan memasuki bangunan kerajaan.
Pengarang malaysiakini Steven Gan berkata permohonan penerbitan ini menguji kejujuran kerajaan mengotakan janjinya untuk mengekalkan dasar "tiada sekatan terhadap Internet".
"Alasan untuk menolak permohonan kami adalah tidak munasabah kerana kebanyakan penerbitan akhbar Internet tidak mempunyai permit daripada KDN," kata Steven.
"Kami berharap tindakan ini bukanlah satu tindakan 'menapis secara senyap-senyap'," ujar beliau.
"Kami akan membawa kes ini kepada pihak atasan," tambahnya.

