MP Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata masalah keyakinan ke atas program transformasi kerajaan “berhubungkait rapat” dengan keyakinan dalam pelaburan langsung luar negara (FDI) yang menurutnya menyaksikan penurunan mendadak.

Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada satu laporan The Edge Financial Daily , yang memetik Indeks Keyakinan FDI tahun ini oleh firma AT Kearney.

Laporan itu menyebut, kedudukan Malaysia jatuh ke tangga ke-25, berbanding tangga ke-10 tahun lalu.

Malaysia mencatat prestasi berkenaan walau dengan jangkaan AT Kearney bahawa pasaran baru masih menjadi destinasi yang menarik FDI.

“Penurunan drastik dalam keyakinan FDI Malaysia tentunya berhubungkait rapat dengan penurunan keyakinan ke atas kerajaan untuk melaksanakan janji transformasinya...,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysia kini berada satu tangga di belakang Indonesia (ke-24) dan Argentina (ke-23) manakala Amerika Syarikat berada di hadapan diikuti China (tangga kedua) dan Brazil (ketiga).

Menurut The Edge , laporan itu menyenaraikan negara berkenaan berdasarkan kesan perubahan politik, ekononomi dan kawalan ke atas FDI, berdasarkan tinjauan ke atas 300 orang eksekutif kanan di syarikat terkemuka.

Laporan itu juga menyebut, ekonomi Malaysia antara lainnya meningkat ekoran perbelanjaan infrastruktur kerajaan dan peningkatan permintaan pengguna – dipacu oleh peningkatan upah penjawat awam dan pemberian bantuan kewangan.

[Baca berita penuh]