Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sebagaimana ditulis sebelum ini, persoalan alam sekitar jarang dilihat sebagai isu utama masyarakat. Kejadian jerebu ini sedikit sebanyak mengubah keadaan itu. Sebabnya mudah iaitu manusia akan mula bersuara apabila kesannya mula dirasakan sendiri oleh mereka.

Paling tidak kejadian jerebu ini elok diambil sebagai saat boleh didik (teachable moment). Peluang belajar tentang persoalan berkaitan jerebu ini adalah lebih tinggi ketika ia sedang berlaku kerana orang ramai sedang berdepan dengannya dan mempunyai persoalan tentangnya.

Secara umumnya tidak ramai yang tahu tentang Indeks Pencemaran Udara (IPU), kecuali yang pernah melalui pengalaman jerebu sebelum ini. Lebih sedikit daripada itu yang tahu apakah jenis pencemar yang terkandung di dalamnya.

Sekurang-kurangnya indeks tersebut sudah biasa didengar meskipun tidak ramai yang akan menghafal bacaan indeks dan status yang diwakilinya.

Masyarakat berpengetahuan

Ketika jerebu berlaku pada tahun 1997 dan 2006, kritikan utama kepada kerajaan ialah kesukaran mendapat maklumat. Sudah tentu perkara ini penting kerana ia melibatkan hal kesihatan yang boleh bertukar menjadi serius dalam tempoh singkat.

Dengan akses kepada maklumat, orang ramai boleh membuat keputusan secara bermaklumat dengan lebih cepat. Ada beberapa kata kunci penting di sini: 'Membuat keputusan', 'maklumat' dan 'cepat'.

Untuk kes terkini permasalahan ini telah diperbaiki. Bagi yang mempunyai internet khususnya, laman web Jabatan Alam Sekitar menyediakan maklumat yang saya fikir cukup. Namun dengan tersedianya maklumat ini, keputusan yang ingin dibuat tidak semestinya mudah.

Ambil pengumuman cuti sekolah oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai contoh. Sama ada sekolah diberikan cuti atau tidak sukar ditentukan lebih awal kerana situasi jerebu di pelbagai tempat perlu disemak dari semasa ke semasa.

Jika keputusan dibuat berdasarkan bacaan pada pukul 5 petang hari sebelumnya, bacaannya berkemungkinan tidak sama seperti situasi pada pukul 7 pagi berikutnya.

Ini secara tidak langsung memberikan sedikit kesukaran bagi keluarga yang tidak mempunyai pengasuh atau pembantu rumah kerana bagi ibu bapa yang bekerja mereka perlu membuat keputusan tentang cuti untuk mengambil giliran menjaga si anak.

Pelbagai lagi contoh boleh dikemukakan dan orang ramai lebih arif tentang kesulitan yang mereka hadapi. Namun mesti ditekankan di sini bahawa maklumat yang dimaksudkan di sini bukanlah terhad kepada situasi jerebu semata-mata.

Dalam kebakaran hutan di Indonesia yang berlaku kini, beberapa persoalan cukup intim dengan kepentingan kebebasan maklumat.

Pertama, apabila pertikaian timbul, tidak semua tahu siapa sebenarnya terlibat, kecuali beberapa nama syarikat yang didedahkan oleh pihak berkuasa di Indonesia. Yang menariknya, ada syarikat yang tampil menafikannya.

Kita juga tahu bahawa pendedahan yang dibuat tidak menyeluruh, sekadar beberapa jawapan bersifat politik - memindahkan kesalahan kepada pihak lain. Ini menimbulkan pertanyaan lanjut tentang aspek penguatkuasaan yang ada di negara jiran.

Fakta bahawa Indonesia merupakan negara tunggal ASEAN (yang awal) belum menandatangani Perjanjian Pencemaran Udara Rentas-sempadan (ATHP) membuka ruang spekulasi bahawa kebakaran hutan di negara itu seperti disengajakan, atau sekurang-kurangnya tidak diberi kawalan yang sewajarnya.

Pelajaran untuk kita

Harus diingat, jerebu hanyalah sebahagian daripada isu alam sekitar yang lebih luas dan rumit. Kerumitan ini tidak wajar dijadikan alasan untuk menutup maklumat.

Banyak lagi isu alam sekitar baik di laut, sungai, darat dan udara hanya boleh ditangani dengan lebih baik dan menyeluruh sekiranya akses kepada maklumat lebih terbuka.

Dengan meningkatnya minat orang ramai terhadap isu bersangkutan alam sekitar, tidak ada keperluan untuk disembunyikan. Mungkin inilah yang dikatakan "kejujuran adalah polisi terbaik" (honesty is the best policy).


Amin Ahmad ialah graduan Sains Perhutanan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

ADS