KDN tiada ketetapan tentang kad perakuan akhbar Internet
Kementerian Dalam Negeri belum menetapkan sebarang polisi berhubung permit kepada akhbar Internet.
Timbalan Menterinya, Datuk Zainal Abidin Zin berkata di lobi parlimen hari ini, akhbar Internet merupakan bahan siaran yang baru dan pihak kementerian masih mengkaji samada perlu memberi permit kepada mana-mana akhbar Internet.
"Saya akan membincangkan hal ini samada perlu pihak KDN mengeluarkan permit," jelas Zainal berhubung tindakan Jabatan Penerangan menolak permohonan malaysiakini mendapatkan kad perakuan akhbar baru-baru ini.
Beliau mendakwa perkembangan Internet masih baru di negara ini. Pihak kementerian perlu menilai dari semasa ke semasa kerana Internet juga merupakan bahan siaran maklumat yang penting.
"Kadangkala terdapat pertindihan kuasa dalam pihak kementerian, justeru itu kementerian tertentu perlu berbincang supaya keputusan yang wajar dapat dicapai," jelas Zainal berhubung penolakan kad perakuan akhbar kementerian penerangan atas alasan tidak memperoleh permit daripada KDN.("[#1] KDN wajibkan kad perakuan akhbar Internet[/#] ", April 17)
Tambah beliau, setakat ini tiada ketetapan kerana permit KDN hanya dikeluarkan kepada akhbar yang bercetak.
"KDN hanya keluarkan permit kepada sesuatu yang boleh dipegang, dibawa dan disebarkan dengan nyata, tetapi Internet sebaliknya," jelas Zainal lagi.
Sementara itu, apabila ditanya urusan pemberian kad perakuan akhbar kepada media asing, Zainal itu berkata kerajaan perlu mendapatkan pengesahan awal daripada kedutaan asing sebelum individu itu berurusan di negara ini.
Beliau menjelaskan, individu tersebut juga perlu mendapatkan perakuan daripada Kementerian Luar Negeri sebelum permohonan mereka akan dipertimbangkan oleh pihak Kementerian Penerangan.
Semalam, Timbalan Pengarah Bahagian Akhbar dan Perhubungan Awam, Razali Aziz, memberitahu malaysiakini bahawa syarikat akhbar Internet perlu mempunyai permit penerbitan daripada KDN sebelum mereka diberi kad perakuan akhbar.
Beliau mendakwa polisi ini bukan sesuatu yang baru kerana semua media massa termasuk akhbar Internet memerlukan permit KDN sebelum memperolehi kad perakuan akhbar tersebut.
Malaysiakini juga menerima surat daripada Resat Salleh, Pengarah Bahagian Akhbar dan Perhubungan Awam, bagi pihak Ketua Pengarah Penerangan Malaysia yang memaklumkan bahawa permohonan untuk mendapat kad perakuan akhbar tidak dapat diluluskan.
Bagaimanapun Razali juga berkata bahawa beliau tidak pasti akta yang sepatutnya mengawasi akhbar Internet, beliau juga menjelaskan bahawa Malaysiakini.com boleh membuat rayuan kepada KDN untuk mendapat kad perakuan akhbar itu.
Sementara itu, Setiausaha Parlimen Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Chia Kwang Chye, turut menegaskan bahawa pihak kerajaan memegang janji tidak akan mengawal siaran Internet.
Chia berkata, terdapat kekeliruan dari pihak orang ramai seolah-olah kerajaan menetapkan kod etika tertentu.
Tambah beliau, hal ini tidak berlaku kerana kerajaan telah jelas dengan dasar tiada "censorship" (sekatan) terhadap Internet.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.