K'jaan ikut keputusan mahkamah, kata Muhyiddin
Cadangan yang hanya memerlukan kebenaran salah seorang daripada ibu atau bapa untuk menukar agama anak kepada Islam adalah berdasarkan penghakiman Mahkamah Persekutuan dan peruntukan perlembagaan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin mengakui bahawa langkah berkenaan tidak konsisten dengan keputusan kabinet pada 2009 berhubung penukaran agama kanak-kanak.
Namun, beliau berkata ini merupakan keputusan terbaru yang akan diteliti kerajaan.
“Ini adalah berdasarkan keputusan mahkamah, berdasarkan perlembagaan persekutuan. Ini adalah skop terkini,” katanya ketika ditanya dalam satu sidang media hari ini.
Beliau ditanya sama ada cadangan pindaan ke atas Seksyen 107(b) Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 itu bersalahan dengan keputusan kabinet pada 2009 yang menghalang penukaran agama secara satu pihak sahaja.
Muhyiddin berkata kerajaan maklum dengan rungutan yang timbul berhubung rang undang-undang tersebut, yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

