Ketika di Jakarta pada Hari Kebebasan Akhbar Sedunia Rabu lalu, saya "berkempen" bagi pihak rakan-rakan wartawan di negara ini. Saya bercerita tentang pengharaman majalah Detik , penggantungan akhbar Eksklusif , sekatan terhadap tabloid PAS, Harakah , dan juga amaran yang dihadapkan kepada Wasilah dan Tamadun .

Dua kali saya merayu teman-teman wartawan Asia Tenggara dan organisasi wartawan antarabangsa agar memberikan tekanan yang lebih kuat kepada kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, ada seorang wartawan menemui saya secara peribadi selepas itu dan bertanya, "kenapa anda masih merungut tentang kebebasan akhbar, padahal anda masih bebas di Malaysia?"

Wartawan itu tentunya dari sebuah negara Asean yang paling tertindas, malah beliau sendiri tidak boleh berjalan selepas hanya seminggu ditahan di penjara. Sekarang wartawan majalah Irrawaddy itu berpangkalan di Chiangmai, Thailand.

Begitu juga keadaan wartawan di Timor Timur yang masih mencetak beberapa ratus akhbar menggunakan mesin fotokopi. Sekumpulan wartawan Lian Maubere (Suara) di negara yang baru merdeka itu hanya mempunyai satu komputer dan sebuah mesin fotokopi.

Myanmar, Timor Timur atau Cambodia bukanlah ukuran untuk memahami pencabulan kebebasan akhbar di negara ini. Masalah dan kerenah menegakkan media bebas berbeza-beza. Begitu juga keruwetan isu-isu media di Indonesia, yang hanya baru dua tahun menikmatinya, dengan Filipina yang sudah menikmatinya selama 14 tahun.

Setiap tahap perkembangan media bebas bergantung pada lingkungan politik yang menyokong semangat demokrasi dan jiwa kebebasan itu sendiri.

Wartawan luar negara yang tidak cermat mengamati Malaysia tentunya menganggap desakan saya itu berlebihan berbanding negara mereka, tentunya desakan saya itu terlalu remeh. Mereka sewajarnya diutamakan, kira-kira begitulah maksudnya.

Saya mewakili akhbar malaysiakini bagaimanapun hanya mampu berbicara selama kurang 10 minit tidak mungkin saya menjelaskan jaringan masalah yang kait-mengait antara kebebasan akhbar, tekanan politik ke atas pembangkang, kekalutan dalam parti Umno dan juga sokongan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tidak hairan, mereka tidak memahami desakan saya itu secukupnya.

Kebebasan akhbar di negara ini - seperti juga negara-negara Asean lain - tidak berdiri sendiri. Tekanan ke atas media bebas dan wartawan bebas (independent journalists) juga dilihat dalam konteks kongkongan politik yang semakin meningkat di negara ini.

Apa yang lebih merungsingkan sebenarnya ialah tekanan menyeluruh pihak kerajaan terhadap sebarang kritikan dan perbezaan idea. Malah, tekanan terhadap media bebas datang bersama satu percubaan Mahathir melemahkan sokongan pembangkang Melayu dan meraih kembali sokongan Melayu terhadap partinya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi, menyuarakan hal itu lebih jelas.

Dalam usahanya itu, dua kelompok mangsa terbesar ialah PAS dan media bebas. Maksudnya, PAS, aktivis Islam, ulama dan pelajar yang dilihat bersamanya menjadi sasaran utama. Kedua, penerbitan yang ditindas secara terang-terangan semuanya berbahasa Melayu dan sering pula menyalurkan suara pembangkang.

Di negara ini, kita mempunyai lebih 12 akhbar harian dalam empat bahasa utama, tidak termasuk akhbar harian untuk Sabah dan Sarawak sahaja. Kita juga memiliki empat stesen TV, tidak termasuk Astro dan MegaTV. Jumlah saluran radio jauh lebih besar daripada akhbar harian dan TV!

Semuanya prokerajaan dan sebahagian besarnya milik kroni atau kerajaan. Ada waktu-waktunya media ini dengan lagak menggila memalsukan berita atau memesongkan kenyataan, selain tugas utamanya memasung (blackout) berita, surat pembaca dan rencana yang kritis.

Sementara media bebas hanya ada lima, dan semuanya kecuali Eksklusif yang mempunyai kemampuan modal, kakitangan dan tradisi kewartawanan wujud dalam keadaan tidak sepenuhnya profesional.

Kenapa media daif ini harus dimatikan sedangkan Barisan Nasional sudah "memenangi kembali" majoriti dua per tiga dalam pilihan raya umum November lalu?

Bukankah Mahathir sering berhujah majoriti rakyat di belakangnya?

Sementara internet pula hanya dinikmati oleh enam peratus daripada 22 juta penduduk Malaysia. Kira-kira 65 peratus berpusat di Lembah Klang, selebihnya di dua bandar utama, Johor Bahru dan Penang.

Sebahagian besar pengguna internet sebenarnya pelajar sekolah, remaja dan belia yang tidak bersedia menerima bahan-bahan semasa dan politik. Mereka masih menganggap internet sebagai alat hiburan elektronik!

Apa makna akhbar internet seperti malaysiakini.com dalam konteks kebebasan media? Itu pun nampaknya kerajaan tidak bersedia mengiktiraf kami dengan cara melambat-lambatkan kelulusan kad perakuan akhbar yang dipohon lebih sebulan lalu.

Bukan setakat media bebas ini ditindas tetapi kegiatan pembangkang, khususnya kelompok Melayu yang dikenali sebagai PAS, Parti KeADILan Nasional, penyokong reformasi, pelajar universiti dan ulama mengalami tekanan yang agresif.

Itu semua berlaku dalam tempoh enam bulan terakhir.

Dan tekanan itu wujud dalam saat-saat sistem kehakiman, Badan Pencegah Rasuah (BPR), pasukan polis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Peguam Negara menjadi sasaran maki-hamun rakyat biasa di jalanan dan warung kopi.

Begitulah penjelasan saya untuk wartawan dari Myanmar itu dan beliau akhirnya nampak kewajaran seruan saya itu.

Bagaimanapun, seorang pegawai Kedutaan Malaysia di Jakarta yang sengaja datang untuk mendengar kritikan saya itu tidak menyetujuinya. Biarkan, biarkan...