Kastam S'wak sasar kutip cukai RM900 juta
Jabatan Kastam Sarawak mensasarkan kutipan hasil dalam anggaran RM850 juta hingga RM900 juta tahun ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata Kastam Sarawak berazam untuk memastikan kutipan tersebut dapat diperolehi daripada cukai jualan dan perkhidmatan, kenderaan, rokok, minuman keras dan minyak mentah.
Namun demikian, levi keuntungan luar biasa tidak dapat dikutip ke atas minyak sawit mentah yang hanya dikenakan jika harganya melebihi RM3,000 setan bagi tahun ini.
"Sesiapa yang membayar cukai ini memberi khidmat kepada negara kerana cukai yang kita perolehi...di seluruh negara tahun lepas boleh digunakan untuk turut memajukan Sarawak," katanya pada sidang media sempena majlis anugerah perkhidmatan cemerlang Jabatan Kastam Sarawak di Kuching malam tadi.
Seramai 108 orang pegawai menerima anugerah tersebut.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kastam, bahagian penguatkuasa dan pematuhan Datuk Matrang Suhaili dan Pengarah Kastam Sarawak Datuk Jamaiah Jol.
Ahmad berkata kutipan hasil untuk Sarawak pada tahun lepas berjumlah RM893 juta manakala sasaran untuk seluruh negara bagi tahun ini ialah RM34.43 bilion.
- Bernama

