Mangsa rompakan dakwa polis nasihat tak buat laporan
Polis didakwa menasihatkan pasangan mangsa rompakan di Kampung Air Bemban di Kulai, Johor, Jumaat lalu untuk tidak membuat laporan polis.
Anak perempuan pasangan itu Pang Sheue Chyn, 31, berkata, dua perompak memecah masuk ke kedai mereka dan meminta wang daripada ibunya Soh Sew Tin, 61.
Disebabkan takut, Sew Tin menjerit dan memberitahu suaminya Pang Su Sin, 71, yang sedang tidur di belakang kedai.
Suaminya itu kemudian bergegas ke depan tetapi disambut dengan parang diancam di lehernya.
"Seorang daripada perompak minta wang, dalam bahasa Melayu, tetapi oleh kerana emak saya tidak fasih bahasa itu, dia menunjuk ke arah mesin wang tunai dan merayu supaya tiada sesiapa diapa-apakan," kata Sheue Chyn ketika dihubungi hari ini.
Perompak itu kemudian pergi dengan wang RM500 di tangan.
Bagaimanapun, pasangan warga emas itu kecewa apabila tiga pegawai polis Ayer Bemban menasihatkan mereka tidak membuat laporan polis, dengan berkata ia mungkin menjadi masalah bagi warga tua seperti mereka.
Laporan polis dibuat di Kulaijaya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya Zulkefly Yahya ketika dihubungi menafikan perkara itu.
"Bapanya salah faham dengan kami, Kami nasihatkannya membuat laporan polis, tetapi dia mahu menunggu anaknya datang kerana tidak faham bahawa Melayu," kata Zulkefly.

