'Jenayah meningkat ketika EO berkuatkuasa'
MP Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan menteri dalam negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak sepatutnya menimbulkan dakwaan bahawa peningkatan kadar jenayah berpunca dari pemansuhan Ordinan Darurat (EO).
Sedangkan, pasukan polis tidak mengemukakan sebarang bukti bagi menyokong dakwaan bahawa peningkatan kadar jenayah itu berpunca dari pembebasan penjenayah yang sebelum ini ditahan bawah EO.
“Malah, jika kita kaji statistik jenayah sejak satu dekad lalu, ia menunjukkan bahawa kejadian jenayah meningkat dengan agresif ketika EO berkuatkuasa.
“Indeks jenayah Malaysia meningkat dengan mendadak dari 2003 hingga 2008. Pada kemuncaknya, kadar jenayah meningkat 34 peratus dari 2004 hingga 2007.
“Dalam tempoh ini, EO boleh digunakan oleh polis, namun kadar jenayah nampaknya tidak boleh dihentikan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Zahid Hamidi pada 4 Julai lalu berhubung usaha KDN untuk merangka draf undang-undang baru bagi menggantikan EO.
Zahid berkata demikian susulan kenyataan polis sebelum itu, yang mengaitkan peningkatan kadar jenayah berat dengan pembebasan lebih 2,600 tahanan bawah undang-undang tersebut, yang dimansuhkan pada 2011.
Namun, selepas mengumumkan Bidang Keberhasilan Utama Negara pada 2009, kerajaan menyatakan bahawa kadar jenayah berkurangan dengan ketara – dari 209,417 kes pada tahun berkenaan kepada 157,891 kes pada 2011, kata Pua.
“Ini dikaitkan dengan pelan transformasi kerajaan dengan peruntukan sumber lebih besar untuk mengawal dan memerangi jenayah jalanan.
“Pencapaian ini, jika benar, tidak pernah dirujuk kepada penggunakan EO yang lebih meluas untuk menahan individu didakwa penjenayah tanpa perbicaraan,” katanya.
Pasukan itu juga, menurut Pua, mengemukakan data pada tahun lalu yang menyebut bahawa kadar jenayah berada pada takah paling rendah dalam dekad ini – dengan 145,891 kes atau penurunan 7.6 peratus dari 2001.
“Lebih jelas lagi, penurunan kadar tersebut, menurut statistik polis, dicapai walau EO dimansuhkan pada tahun tersebut,” katanya.

