Akta Hasutan: 'Fikir keselamatan, bukan emosi'
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, keputusan berkaitan cadangan pemansuhan Akta Hasutan 1948 perlu dilakukan dengan mengambil kira tuntutan-tuntutan semasa dan tidak berdasarkan emosi semata-mata.
"Kita kena fleksibel dengan tuntutan semasa tetapi tuntutan semasa ini biar atas dasar keselamatan dan bukan emosi," katanya kepada
Malaysiakini
sewaktu mengulas akta itu yang kembali hangat dibincangkan akhir-akhir ini.
Namun tegasnya, beliau menyokong pendirian Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung keperluan mengekalkan akta itu.
"Saya dalam hal ini, kenyataan yang dikeluarkan menteri dalam negeri itu saya sokong. Itu yang penting kerana dia mengetahui perkara ini," katanya yang yakin perkara itu masih akan diperhalusi di peringkat kabinet tidak lama lagi.
Zahid Hamidi (
kanan
) sebelum ini menegaskan akta tersebut perlu dikekalkan bagi memelihara empat perkara - kedudukan Islam sebagai agama rasmi, kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak istimewa orang Melayu.
Isu pemansuhan Akta Hasutan kini giat dibincangkan semula kerana selepas perdana menteri mengumumkan hasrat memansuhkannya tahun lalu, ia terus juga digunakan.
Malah, anggota kabinet berbeza pendapat berhubung perkara itu.
Menurut Menteri Pelancongan Datuk Seri Abdul Nazri Aziz, kabinet bersetuju memansuhkan akta kontroversi itu dalam satu pertemuan tahun lalu dan Jabatan Peguam Negara diminta mengkajinya.
Kenyataan itu berbeza sama sekali dengan kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri S Subramaniam sebelumnya yang berkata, hasrat itu "cadangan" Najib dan kabinet akan "mempertimbangkan" sebelum membuat keputusan.
BNBBC tunggu semua pandangan
Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Seri Shahrir Samad pula menegaskan badan tersebut masih belum menetapkan pendirian mereka tentang akta itu.
"BNBBC belum ada pendirian apa-apa kerana kita belum bincang.
"Saya ingat lebih baik tunggu semua punya pandangan," katanya ringkas kepada Malaysiakini .
Ku Nan: Serah pada KDN
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata keputusan untuk memansuhkan, meminda atau menggantikan Akta Hasutan perlu diputuskan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
"Saya lihat kita serah kepada KDN-lah kerana akta itu ada baiknya, ada tidak baiknya.
"Yang baiknya, kita sekurang kurangnya cuba cegah jenayah (dengan akta ini)," katanya.
"Dulu kita ada EO (Akta Darurat), ada ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), orang bila nak buat sesuatu mereka berfikir.
"Sekarang ini bila kita dah mansuhkan, orang tak kisah (untuk melakukan apa-apa sahaja). Jadi kita serahkan kepada KDN, mereka lebih tahu," kata ahli Parlimen Putrajaya itu.
Beliau sedia maklum perdana menteri telah mengumumkan pemansuhan akta itu tahun lepas.
Namun tegasnya, kerajaan masih boleh memperbaiki sebarang keputusan yang telah dibuat jika ia tidak membawa manfaat seperti diniatkan.
"Ini satu kaedah cuba dan jaya ( trial and error ). Seperti saya selalu kata, kita bukan kerajaan yang sempurna, kita tak tahu semua perkara.
"Ada kalanya apabila kita buat keputusan, kita rasakan ia yang terbaik buat semua tapi akhirnya apabila ada masalah, kita kena perbaiki, maka kita perbaikilah.
"Kita tunggu untuk kabinet buat keputusan," katanya.

