Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberi jaminan bahawa undang-undang baru yang menggantikan Ordinan Darurat (EO) akan memberi kebebasan hak asasi kepada rakyat.

Beliau juga berkata, perlindungan hak kepada tahanan juga akan diberikan di dalam undang-undang baru itu.

"Jika ada mana-mana undang-undang yang diwujudkan, sudah tentu mesti melindungi hak-hak kebebasan seperti hak untuk mendapat bantuan guaman dan membenarkan rayuan dibuat.

"Mesti ada komponen perlindungan," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Selain itu, Wan Junaidi juga berkata, draf undang-undang yang akan menggantikan EO itu kini sedang dirujuk dengan pihak yang berkepentingan.

Menurutnya lagi, sejak EO dimansuhkan, terdapat beberapa pihak yang meminta agar ia digantikan bagi membantu pihak polis memerangi jenayah.

"Sebagai contoh, orang yang kendali perjudian. Semua orang di belakang (kegiatan) ini tidak akan beritahu siapa bos mereka jika ditahan.

"Pihak polis tahu siapa yang bertanggungjawab tapi tanpa bukti yang cukup macam mana nak dakwa. Nanti diakhirnya, yang ditangkap hanyalah pengikut dan akan ada pula yang kata pihak polis melindungi mereka.

"Tetapi hakikatnya undang-undang yang melindungi rakyat," katanya lagi.