'Projek KLIA2 paling cepat, murah'
Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 – yang dijangka beroperasi awal Mei depan – merupakan pembinaan terminal yang "paling murah dan cepat".
Beliau berkata, jika dibandingkan dengan lapangan terbang antarabangsa lain, pembinaan KLIA 2 lebih cepat dan murah kerana kos pembinaan termasuk kos tambahan hanya RM89 untuk setiap penumpang.
"Di Jerman, lapangan terbang yang sedang dibina kosnya ialah RM478 bagi setiap penumpang dan tempoh pembinaan ialah enam setengah tahun.
"Dalam semua lapangan terbang yang sedang dibina atau telah dibina, kita adalah paling murah dan cepat," katanya.
Beliau berkata demikian semasa membuat pergulungan perbahasan titah Diraja berhubung kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun, Tony Pua (DAP- Petaling Jaya Utara) bangun mempersoalkan hujah yang diberi Abdul Aziz dengan mengatakan bahawa pembinaan KLIA 2 merupakan terminal lapangan terbang kos rendah dan tidak sepatutnya membandingkan dengan lapangan terbang antarabangsa.
"Terminal penerbangan kos rendah (LCCT) hanya kos RM232 juta dan memuatkan 15 juta penumpang. Kenapa membelanjakan RM4 bilion untuk bina sebuah lapangan terbang yang menampung 45 juta penumpang," soal Pua.
Sehubungan itu, Abdul Aziz berkata, kemudahan di KLIA 2 banyak dinaik taraf berbanding dengan terminal LCCT.
Katanya, berdasarkan perkembangan industri penerbangan kini, KLIA 2 tidak boleh disamakan dengan terminal kos rendah atau lapangan terbang yang memberi perkhidmatan penuh.
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin pada awal bulan lalu berkata KLIA2 dijangka dibuka untuk operasi pada 2 Mei 2014, lebih 10 bulan lewat dari jadual awalnya.

