Sekumpulan pekerja ladang hari ini membantah tindakan kerajaan yang melengah-lengahkan pelaksanaan skim gaji bulanan dengan alasan kononnya kajian masih perlu dijalankan.

"Perkataan kajian sudah menjadi satu jenaka di kalangan pekerja ladang kerana terlalu sering digunakan," kata Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) dalam memorandum mereka kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Fong Chan Onn hari ini.

Seramai 12 wakil dari beberapa negeri bersama beberapa ratus pekerja berkumpul selama dua jam di luar bangunan kementerian di Damansara pagi ini untuk menyerahkan memorandum tersebut.

Melalui memorandum itu, mereka menuntut gaji tetap bulanan sebanyak RM900, kenaikan gaji sebanyak RM50 setiap tahun, bonus tahunan sekurang-kurangnya satu bulan gaji dan faedah persaraan sebanyak RM1000 bagi setiap tahun perkhidmatan.

Mereka juga menuntut pampasan saguhati (ex-gratia) sebanyak RM1000 bagi setiap tahun bekerja dan sebuah rumah kos rendah, selain melaksanakan skim perumahan dengan serta-merta.

Menurut JSML, kerajaan tidak perlu melakukan kajian lagi kerana banyak kajian telah pun dijalankan sebelum ini. Kerajaan kini bercadang menyerahkan isu itu dikaji oleh Fakulti Ekonomi Universiti Malaya.

Bagaimanapun, menurut jawatankuasa itu, sebelum ini kajian pernah dijalankan oleh seorang profesor Universiti Kebangsaan Malaysia dua tahun lalu dan Yayasan Strategi Sosial pada penghujung tahun lepas.

"Kementerian dan kerajaan memang tahu mengenai masalah gaji bulanan dan perumahan kami tetapi tidak mahu mengambil tindakan tegas," dokumen itu dipetik.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu hanya dapat berjumpa dan mengadakan perbincangan selama lebih sejam dengan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Zainal Abidin Abdul Rashid.

S. Velan, penyelaras media bagi jawatankuasa itu memberitahu malaysiakini bahawa mereka tidak berpuas hati dengan hasil perjumpaan tersebut.

"Datuk Zainal baru dilantik menjadi Ketua Setiausaha dan beliau tidak jelas tentang latar belakang masalah ini," kata Velan.

"Tambahan pula, beliau tidak dapat menjanjikan apa-apa dan hanya akan menyampaikan memorandum kami kepada Menteri Sumber Manusia," kata beliau lagi.

Velan memberitahu JSML berasal kesal apabila menteri berkenaan tidak dapat hadir dalam perjumpaan tersebut walau beliau dimaklumkan sejak seminggu yang lalu.

Menurut dokumen itu, Malaysia masih lagi mengamalkan sistem pentadbiran ladang ala zaman penjajah yang memperkenalkan sistem itu di negara ini.

Sehingga hari ini, dianggarkan terdapat seramai 112,800 pekerja ladang dari lebih 1,000 ladang di serata negara yang dibayar dengan skim upah penjajah.

Dibawah sistem yang telah berusia lebih satu abad ini, pekerja-pekerja ladang hanya dibayar upah harian. Pekerja tidak akan akan mendapat sebarang peningkatan upah atau bonus tahunan.

Pada 19 April tahun lalu, lebih kurang 2,000 orang pekerja ladang mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan Parlimen. Bagaimanapun, tidak ada seorang ahli Dewan Rakyat daripada kerajaan sanggup membangkitkan isu tersebut dalam dewan.