Malaysia akan terus menggesa Indonesia untuk meratifikasi Perjanjian Asean Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (CO5) semasa mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Peringkat Menteri Sub-Wilayah (MSC) di sini, Rabu depan.

    

Selain itu, Malaysia juga akan meminta negara-negara anggota MSC memberi lebih penekanan kepada penyelesaian jangka panjang dalam mencegah episod jerebu di rantau kecil ini menerusi pengurusan tanah gambut secara bersepadu, menurut Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

    

Mesyuarat tersebut, yang akan dihadiri oleh menter-menteri alam sekitar dari Brunei, Indonesia, Singapura, Thailand dan Malaysia, adalah penting memandangkan keadaan jerebu yang melanda rantau ini.

    

"Forum MSC ini perlu mengambil kira apa yang telah dicapai dan apakah keperluan mendesak, " menurut kenyataan kementerian itu hari ini.

    

Objektif MSC adalah untuk menyelia pelaksanaan langkah-langkah yang ditingkatkan bagi mengelak berulangnya jerebu asap dari kebakaran tanah dan hutan di wilayah-wilayah di Indonesia seperti digariskan dalam Pelan Tindakan (POA) Indonesia Dalam Menangani Kebakaran Tanah dan Hutan dan Jerebu.

    

Antara pelaksanaan yang berjaya dicapai oleh MSC sejak penubuhannya pada 2006 ialah pengoperasian POA Indonesia bagi mengurangkan bilangan 'tompok panas' di daerah-daerah risiko kebakaran tinggi di wilayah Sumatera dan Kalimantan,

kerjasama dua hala dalam mencegah kebakaran tanah dan hutan.

- Bernama