Yadim: Kenyataan wakil Vatican tak sejajar semangat diplomatik
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) kesal dengan kenyataan wakil Vatican di Malaysia tentang peggunaan kalimah Allah oleh orang Kristian.
Yang Dipertuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki Asyraf berpendapat Ketua Biskop Joseph Marino sewajarnya menghormati kedudukan istimewa Islam di sisi Perlembagaan.
"Tindakan beliau yang memberi komen isu dalaman negara ini adalah tidak wajar dan tidak sejajar dengan semangat diplomatik yang terjalin di antara Malaysia dan Vatican," katanya dalam satu kenyataan.
Marino sebelum ini dilaporkan menyifatkan pendirian kumpulan Kristian di negara ini terhadap penggunaan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu sebagai "logik dan boleh diterima".
Ketua Biskop Roman Katolik Titular Kuala Lumpur Rabu lalu pula memfailkan permohonan untuk mengenepikan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan satu akhbar mingguan Katolik menggunakan kalimah Allah.
Menurut Asyraf, komen Marino juga tidak wajar memandangkan isu berkait kalimah Allah masih dibicarakan di mahkamah.
"Tindakan ini boleh dianggap sebagai subjudis dan penghinaan kepada perjalanan dan sistem mahkamah negara ini," kata Asyraf.
Beliau seterusnya menggesa Marino menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kenyataannya.
Pendirian serupa turut dinyatakan NGO pendesak Melayu, PERKASA dan JATI menerusi Presiden JATI, Datuk Dr Hassan Ali semalam.

