Walaupun "Ubah di atas Air" mendapat sambutan hebat penyokong kuat DAP, yang terbukti dengan jumlah yang besar mereka yang hadir di majlis pelancarannya pagi ini, tetapi ramai juga penduduk Pulau Pinang yang tidak begitu teruja.

 

Beberapa orang melihatnya sebagai satu gambaran yang salah tentang budaya, manakala yang lain melihatnya sebagai satu pembaziran RM60,000 yang dibelanjakan. Ada juga yang merasakan patung raksasa setinggi tujuh meter yang diperbuat daripada PVC itu bercanggah dengan pengharaman beg plastik di negeri ini.

 

Ditemui di Promenade IJM, di mana patung tersebut dilancarkan, Mohammad Asrol, yang berasal dari Bayan Lepas, berkata gimik itu adalah satu "aksi publisiti murah" dan pembaziran wang, walaupun ia ditaja oleh penyokong DAP.

 

NONE Beliau berkata ia akan dilihat sebagai satu usaha untuk meniru kejayaan artis Belanda Florentijn Hofman yang menghasilkan patung itik terapung di Hong Kong dan patung burung kenyalang itu tidak melambangkan Pulau Pinang.

 

"Burung ini tinggal di kawasan tinggi Sarawak. Meletakkan patung burung itu di atas air menunjukkan kita (orang Semenanjung) jahil tentang budaya asal negeri ini," katanya.

 

'Kenyalang tidak terapung di atas air'

 

Seorang lagi penonton di majlis pelancaran itu, SY Chin, tertanya-tanya sama ada meletakkan struktur PVC raksasa itu untuk hanya enam minggu, akan menghantar mesej yang salah mengenai dasar alam sekitar di negeri ini. Patung burung kenyalang itu akan hanya dipamerkan sehingga 31 Ogos.

 

"Ia tidak begitu mesra alam kerana ia diperbuat daripada plastik dan dasar hijau Pulau Pinang mengharamkan beg plastik diberikan kepada orang ramai," kata pengamal perhubungan awam yang 30 tahun itu.

 

Menurutnya, dari segi perhubungan awam, walaupun gimik itu "menarik" dan satu "inisiatif politik yang pintar", tetapi ia masih satu "barang mainan" yang memberi nilai hiburan.

 

"Saya ingin bertanya mengapa burung itu terapung di atas air. Jika kita melihat secara lebih mendalam, idea terapung ialah membawa maksud tiada arah dan tanpa tujuan," katanya.

 

G Michael pula merasakan saiz patung tersebut kecil daripada yang dijangkakan, untuk menjustifikasikan harga RM60,000. Beliau turut mempersoalkan alasan mengapungkan kenyalang di atas air.

 

"Mungkin, ia lebih baik terletak di Bukit Bendera, ia akan menjadi lebih bermakna," kata Michael yang juga seorang pengarah syarikat berusia 45 tahun.

 

"DAP melihat ia sebagai agen perubahan, sudah tentu ini terpulang kepada tafsiran tetapi rakyat  Sarawak akan ketawa melihat burung itu terapung di atas air kerana ia tidak melambangkan budaya mereka."

[Baca berita penuh]