Cawangan Umno K'tan mula mesyuarat Selasa
Sejumlah 2,204 cawangan Umno di Kelantan akan mengadakan mesyuarat mulai 16 Julai hingga 31 Ogos depan, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Mustapa berkata 14 bahagian Umno di negeri ini pula akan mengadakan persidangan masing-masing selepas Aidilfitri ini, selepas selesai semua mesyuarat cawangan.
"Kita jangka semuanya akan selesai secara berperingkat sebaik sambutan Aidilfitri ini kerana kita tahu mungkin agak sukar untuk mengadakan mesyuarat pada Ramadan," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan di Kompleks Umno Bukit Nangka di Jeli, malam tadi.
Mengulas pemilihan anggota jawatankuasa parti di peringkat cawangan atau bahagian, Mustapa berkata sesiapa yang layak boleh bertanding untuk sebarang jawatan.
- Bernama

