SPR belum pastikan Parlimen, DUN yang ditambah
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum dapat memastikan bahagian pilihan raya yang terlibat dengan pertambahan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam proses persempadanan semula.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ini kerana urusan kajian persempadanan semula masih di peringkat persiapan awal.
"Bagaimanapun SPR akan menyiarkan syor kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya dalam warta dan sekurang-kurangnya satu akhbar yang diedarkan dalam bahagian pilihan raya itu apabila SPR memutuskan untuk memulakan kajian semula persempadanan...," katanya.
Shahidan menjawab demikian dalam jawapan bertulisnya kepada soalan Sim Tong Him (Kota Melaka) yang ingin perdana menteri menyenaraikan kawasan yang perlu persempadanan semula.
Sim juga bertanya, bagaimana kajian berkaitan tidak akan lari daripada prinsip satu orang satu undi.

