DO kata rancangan kumpulan Sulu diketahui lebih awal
Pegawai Daerah Lahad Datu Zulkifli Nasir mendakwa polis kawasan berkenaan memaklumkan kepadanya bahawa kumpulan bersenjata Sulu merancang satu pencerobohan, dua minggu sebelum kejadian itu berlaku.
Bagaimanapun, Zulkifli yang memberi kenyataan di hadapan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung pendatang asing di Sabah hari ini berkata beliau diminta supaya merahsiakan perkara itu.
Beliau juga berkata kumpulan bersenjata berkenaan mensasarkan Lahad Datu, namun tindakan pihak berkuasa Malaysia menyebabkan kumpulan tersebut terkepung di Kg Tanduo, kira-kira 100km dari bandar Lahad Datu.
"Sasaran asal mereka adalah bandar Lahad Datu,” kata Zulkifli yang menjadi pengawai daerah di kawasan tersebut sejak lima tahun lalu.
“Atas tindakan pantas polis, insiden tersebut tidak sampai ke Lahad Datu dan hanya berakhir di Kg Tandui,” katanya.
Zulkifli juga berkata kerajaan negeri tidak lagi meneruskan usaha untuk menempatkan semula warga asing yang tinggal di kawasn setinggan di Lahad Datu selepas tahun 2008.

