Malaysia Airlines (MAS) bersedia untuk membantu kerajaan membawa pulang pelajar dari Mesir jika pergolakan di negara itu bertambah buruk.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata syarikat penerbangan itu telah memaklumkan kesediaan mereka selepas kementerian mengadakan perbincangan bersama anggota Lembaga Pengarah syarikat itu, petang semalam, lapor Bernama.

"MAS dalam keadaan bersiap siaga untuk membawa pulang pelajar kita pada bila-bila masa...namun buat masa ini keadaan tidak mendesak (untuk berbuat demikian) kerana keadaan di sana (Mesir) masih terkawal.

"Kalau boleh, kita mahu membawa pelajar pulang selepas 9 Ogos ini, kerana waktu ini universiti masih dibuka dan pelajar sedang menghadapi peperiksaan," beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita selepas menghadiri majlis Pelancaran Lesen Memandu Bentuk Baharu di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ Padang Jawa, di Shah Alam.

Bagaimanapun, katanya keputusan membawa pulang pelajar Malaysia itu bergantung kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Wisma Putra, lapor agensi berita nasional itu lagi.

"Selain itu, kita juga akan meneliti perkara lain termasuk mengenal pasti jumlah pelajar yang ingin kembali ke Malaysia dan saluran lain yang boleh digunakan untuk membawa mereka pulang," beliau dipetik sebagai berkata.