Status AES selepas isu berbangkit dibentang pada kabinet
Pemangku menteri pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata status pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) hanya akan diketahui selepas kementerian membentangkan kepada kabinet beberapa isu berbangkit mengenainya.
"Kita dah jumpa pihak Jabatan Peguam Negara dan pihak berkepentingan...kita juga dengar hujah mereka dan imbangkan dengan faktor keselamatan serta hujah orang ramai...kita juga telah sediakan beberapa opsyen untuk mengatasi kelemahan (AES) yang ada," beliau dipetik sebagai berkata oleh Bernama.
Beliau dipetik sebagai berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Pelancaran Lesen Memandu Bentuk Baharu di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Padang Jawa, di Shah Alam.
Pada majlis itu, Hishammuddin turut berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib, Isyak serta bertarawih bersama pegawai dan anggota JPJ, lapor agensi berita nasional lagi.
Turut hadir, isterinya Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi dan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad.
Lesen memandu bentuk baharu yang dilancarkan itu, mempunyai ciri keselamatan yang dipertingkatkan termasuk gambar pemegang lesen dicetak bersama lesen berbanding, gambar hanya dilekat pada lesen, sebelum ini.

