Malaysia Steel Works (KL) Bhd (Masteel) mempertahankan proses kerajaan dalam rundingan projek kereta api Iskandar Malaysia yang dikritik hebat pembangkang akhir-akhir ini.

"Metropolitan Commuter Network Sdn Bhd (MCN) tidak pernah mengatakan pihaknya mempunyai kelulusan penuh daripada kesemua pihak berkuasa berkaitan.

"Ketika idea itu dipromosikan Masteel untuk tempoh empat tahun, pembida lain tidak dilarang daripada menghantar bidaan mereka kepada kerajaan," kata Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Masteel Tai Hean Leng.

Dalam kenyataannya semalam, beliau menjelaskan, projek kereta api Iskandar dirancang sebagai inisiatif sektor swasta, berbanding projek dipacu kerajaan.

"Oleh itu (Masteel) tidak dianugerahkan kontrak oleh kerajaan," Tai dilapor sebagai berkata oleh KiniBiz. [Baca lanjut]

Tai pada 16 Julai lalu turut dilapor menjelaskan, projek itu bukan projek kerajaan tetapi inisiatif swasta, justeru MCN tidak 'diberikan' kontrak oleh kerajaan.

Katanya, MCN ketika itu masih dalam proses mendapatkan kelulusan yang diperlukan daripada kementerian-kementerian kerajaan dan belum diberikan kelulusan penuh melaksanakannya, lapor Bernama .

MCN, syarikat usaha sama yang 60 peratus kepentingannya dimiliki oleh Masteel dan 40 peratus oleh KUB Malaysia Bhd, akan membina dan mengendalikan sistem aliran transit di Iskandar Malaysia, Johor.

Tai berkata demikian sebagai jawapan isu yang ditimbulkan tentang sebab pemberian kontrak itu tidak dikendalikan melalui tender terbuka dan juga tentang pembiayaannya.

Beliau dilaporkan berkata, Masteel yang mengilhamkan konsep projek itu dan mencadangkannya kepada kerajaan untuk mendapatkan kelulusan.

Tai berkata, projek itu bawah Skim Perkongsian Awam-Swasta, dan kedua-dua pihak akan membiayainya dan kebiasaannya kerajaan sebagai pemilik prasaranan akan membiayai kerja-kerja prasarana awam.

Dalam kes itu, semua prasarana dan stesen kereta api dimiliki oleh kerajaan dan MCN akan membayar RM700 juta kepada kerajaan dalam bagi tempoh yang dipersetujui bagi penggunaan prasarana itu, atau 'pinjaman bayaran mudah', kata Tai.