Naib Presiden Parti KeADILan Nasional, Tian Chua, hari ini mengeluarkan "nota dari lokap" dan menegaskan penahanan beliau dan rakan-rakannya tidak akan memadamkan api reformasi.

Akativis reformasi itu menjawab tindakan polis menangkap tujuh pemimpin utama parti itu dan seorang lagi aktivis reformasi, Abdul Malek Hussin, mulai Jumaat hingga Isnin lalu. Sehingga kini, hanya seorang lagi aktivis Lokman Noor Adam, belum ditahan dalam satu operasi polis secara besar-besaran yang dinamakan "Ops Padam."

Polis juga menahan Ketua Pemuda Mohamed Ezam Mohd Nor, Ketua Penerangan Ruslan Kassim, Penolong Setiausaha Pemuda Gopalankrishnan Nagapan, Setiausaha Kerja Pemuda Zahid Md Arip dan Ketua Bahagian Bukit Bintang Sanusi Abdullah.

Mereka ditahan reman selama lima hari hingga esok berhubung siasatan terhadap perhimpunan '14 Hitam' Sabtu lalu.

Lokman, dalam satu kenyataannya kepada malaysiakini berkata beliau akan meneruskan usaha menghantar memorandum kepada Raja-raja Melayu mulai esok.

Bagaimanapun menurut laman web rasmi program itu, Black 14 ([#1] http://reform-black14.tripod.com[/#] ), rancangan asal parti itu untuk menghantar memorandum ke Istana Anak Bukit, Kedah ditunda ke satu tarikh lain.

Sebaliknya penganjur program ini bercadang mengadakan satu perhimpunan jam 2 petang esok di Masjid Nilam Puri, Kelantan sebelum ke istana Kelantan.

Malaysiakini bagaimanapun gagal menghubungi Lokman untuk pengesahan.

Dalam satu perhimpunan di Kampung Baru, Kuala Lumpur malam Sabtu lalu, Lokman mendakwa memorandum kepada DYMM Yang Di-Pertuan Agong sudah berjaya diserahkan melalui Imam Besar Istana Negara.