Kerajaan Malaysia akan mengenakan duti anti-lambakan di antara kosong peratus hingga 25 peratus ke atas produk "electrolytic tinplates" yang diimport dari China dan Korea Selatan.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata duti-duti itu berkuat kuasa tidak melebihi 120 hari dari 20 Julai dan pengenaan kadar duti anti-lambakan yang tetap akan dikeluarkan tidak melebihi 120 hari dari 20 Julai, 2013.

Kementerian berkata kerajaan telah selesai menjalan penyiasatan awal seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 23 Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993.

"Terdapat asas yang mencukupi bagi meneruskan penyiasatan terhadap pengimportan "tinplate" dari negara-negara berkenaan," kata kementerian di dalam satu kenyataan.

Kerajaan telah memulakan penyiasatan kes anti-lambakan pada 20 Feb berdasarkan kepada satu petisyen yang dikemukakan oleh Perusahaan Sadur Timah Malaysia Bhd bagi pihak industri tempatan yang menghasilkan "tinplates".

Pihak pempetisyen mendakwa pengimportan "tinplates" yang berasal atau dieksport dari Korea Selatan dan China dibawa masuk ke Malaysia dengan harga yang lebih rendah daripada yang dijual di pasaran domestik negara-negara berkenaan.

Pempetisyen turut mendakwa yang ini telah menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan Malaysia.

Ia berkata pihak berkepentingan ke atas perkara ini boleh mendapatkan salinan versi tidak sulit penentuan awal dengan membuat permohonan bertulis.

- Bernama