Skuad Harimau Malaya kini kehausan kemenangan dan aksi persahabatan menentang kelab Liga Perdana Inggeris Chelsea FC di Stadium Shah Alam pada Ahad perlu menjadi medan mencatat kemenangan.

Pengurus pasukan kebangsaan Datuk Seri Subahan Kamal berkata, sudah agak lama pasukan kendalian Datuk K Rajagobal itu tidak menyerlah dan ini masa paling sesuai untuk bangkit, lapor Bernama.

"Harimau Malaya pernah mengalahkan pasukan Liga Perdana, Arsenal FC dengan kemenangan 2-0 pada 1975 dan saya harap kita mampu mengulangi kejayaan sama pada aksi menentang Chelsea FC nanti.

"Ini tidak mustahil untuk berlaku," beliau dipetik sebagai berkata kepada Bernama semalam.

Raja: Bukan hanya hiburkan penonton

Sementara itu, agensi berita nasional itu juga melaporkan Rajagopal sebagai menggesa anak didiknya menggunakan perlawanan itu sebagai medan terbaik meningkatkan skil permainan masing-masing.

"Setiap kali kita bermain dengan mana-mana pasukan, kita telah menetapkan objektif untuk tidak hanya menghiburkan penonton yang hadir ke stadium sebaliknya memberi persembahan terbaik.

"Kalau boleh, saya mahu mereka (pemain Harimau Malaya) belajar apa-apa yang memberi manfaat daripada pemain Chelsea untuk membantu persembahan pasukan kita pada masa akan datang," beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita pada sidang media sempena ketibaan pasukan Chelsea malam tadi.