Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) berkata, kalimah 'Allah' dalam Bible versi bahasa Melayu bukan satu kesilapan, dan dakwaan seorang menteri bahawa adalah langkah yang betul untuk membakarnya, adalah sesuatu yang ofensif dan tidak boleh diterima.

NONE "Ianya sesuatu yang ofensif dan tidak boleh diterima untuk menteri berkenaan cuba mewajarkan gesaan Ibrahim Ali untuk membakar kitab suci kami dengan mengatakan bahawa ia mengandungi kesilapan cetakan," kata Pengerusi CFM, Reverend Eu Hong Seng (kanan).

"Penggunaan kalimah 'Allah' di dalam Al-Kitab bukan dan tidak pernah menjadi satu kesilapan percetakan seperti yang didakwa oleh menteri itu.

"Cadangan seumpama itu adalah tidak sensitif, menghina dan mengapi-apikan. Kami mengulangi bahawa ia adalah hak nyata masyarakat Kristian untuk menggunakan kalimah itu," tambahnya.

Beliau menjawab kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang berkata gesaan Ibrahim untuk membakar Bible tidak boleh dibandingkan dengan tindakan penulis blog Alvivi yang dituduh menghina Islam.

Eu juga mengkritik kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang melarang orang bukan Islam daripada menggunakan kalimah Allah.

[Baca berita penuh]