Seorang lelaki terbunuh dan 15 lagi cedera dalam serangan terhadap bantahan ratusan penyokong presiden Islamis yang disingkirkan Mohamed Mursi berdekatan Universiti Kaherah pada awal Selasa, lapor portal berita milik kerajaan.

Al-Ahram Online melaporkan, polis melepaskan gas pemedih mata untuk memberhentikan keganasan, yang turut menyaksikan beberapa kereta diremuk dan dibakar.

Sumber polis memberitahu, ratusan penyokong Mursi bertembun dengan penduduk tempatan, peniaga di jalanan dan lain-lain dekat kampus utama Universiti Kaherah dalam daerah Giza, di Selatan Kaherah.

Menurut mereka, tembakan dilepaskan dan batu turut dibaling semasa insiden.

Semalam, seorang terkorban dan 20 cedera dalam pertembungan antara penyokong dan penentang Mursi di tengah bandar Kaherah.

Kira-kira 100 orang sudah terbunuh sejak tentera menggulingkan Mursi, yang dipilih melalui pilihan raya, pada 3 Julai selepas bantahan besar-besaran.

- Reauters