Polis minta Ruslan Kassim lapor Isnin depan
Ketua Penerangan Parti KeADILan Nasional, Ruslan Kassim, baru sahaja dibebaskan lebih kurang setengah jam lalu. Beliau yang ditahan jam 3 pagi Jumaat lalu berhubung perhimpunan '14 Hitam' dikenakan tahanan reman selama seminggu sehingga hari ini.
Ruslan dibebaskan dengan jaminan polis dan dikehendaki melaporkan diri di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur Isnin depan jam 10 pagi.
"Semua (mereka) sihat," kata Ruslan kepada malaysiakini, apabila ditanya tentang kesihatan enam lagi pemimpin KeADILan dan aktivis reformasi, Abdul Malek Hussin.
Ruslan memberitahu bahawa sebelum dibebaskan, beliau sempat bertemu mereka di IPK Jalan Hang Tuah. Tempoh reman enam pemimpin ini tamat esok dan akan dibawa ke mahkamah magistret Kuala Lumpur untuk dibebaskan dengan ikat jamin atau ditahan reman selanjutnya.
Ditanya untuk apa polis mensyaratkan beliau melaporkan diri minggu depan, Ruslan bagaimanapun menjawab "tidak tahu."
Ruslan juga memberitahu semua pemimpin kali ini ditahan berasingan.
Beliau ditahan di Balai Polis (BP) Brickfields, Tian Chua di BP Salak South, Mohamad Ezam Mohd Nor di BP Jalan Stadium, Gopalankrishnan Nagapan di BP Cheras, Zahid Md Arip di BP Jalan Pantai Baru, Sanusi Abdullah di BP Taman Tun Dr Ismail dan Malek di BP Sentul.
Sebelum ini, mereka selalunya ditahan dalam satu lokap di BP Jalan Stadium.
Bagaimanapun, dalam operasi polis secara besar-besaran yang dinamakan "Ops Padam" kali ini 48 penyokong reformasi dan pemimpin yang disiasat berhubung perhimpunan '14 Hitam' ditahan di 10 balai berasingan.
Sejak mereka ditahan petang Sabtu lalu, ibubapa dan penjaga mendakwa polis tidak memberikan kerjasama untuk mengetahui lokap tempat mereka ditahan dan juga pengawai penyiasat.
Keadaan ini menyukarkan mereka, khususnya yang juga datang dari luar Kuala Lumpur.
Pusat Bantuan Guaman dari Majlis Peguam Malaysia hari menghantar surat kepada Ibupejabat Polis Persekutuan di Bukit Aman merayu kepada polis agar tidak berbuat demikian.
Semua penyokong reformasi yang ditahan akan dibebaskan pada Sabtu ini dengan ikat jamin atau ditahan reman seterusnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.