Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tiada kaitan dengan sebuah laman web yang menerima pembayaran zakat, wakaf dan sedekah secara online seperti dilapor media baru-baru ini.

Pengerusi MAIS Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata aktiviti laman web itu tidak mendapat kebenaran dari pihaknya dan siasatan mendapati laman web itu beroperasi di Shah Alam serta turut menggunakan paparan muka kalkulator pembayaran zakat milik Lembaga Zakat Selangor (LZS).

"Kita menerima aduan daripada orang ramai kerana operasi laman web itu telah mewujudkan kekeliruan dan memberi tanggapan bahawa syarikat terbabit mendapat tauliah untuk mengutip serta mengagihkan zakat dan wakaf di Selangor," katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam semalam.

Beliau berkata MAIS melalui LZS juga telah membuat laporan polis pada 19 Julai lepas berhubung perkara itu.

Katanya, MAIS turut melaporkan perkara itu di Bahagian Penguatkuasaan Agama, Jabatan Agama Islam Selangor.

Mengulas lanjut, Mohamad Adzib berkata berdasarkan bidang kuasa yang diperuntukkan, MAIS berhak mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana orang yang memungut zakat atau fitrah serta membuat pungutan khairat termasuk kutipan wakaf tunai tanpa kebenaran MAIS.

Sehubungan itu, MAIS meminta orang ramai supaya membayar zakat atau wakaf terus kepada LZS atau Perbadanan Wakaf Selangor atau mana-mana pihak yang diberi kuasa oleh MAIS.

- Bernama