Dua MP Pakatan dan lima lagi yang lain mengaku tidak bersalah hari ini atas tuduhan berhubung perhimpunan Black 505 di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 22 Jun lalu.

MP Pandan Rafizi Ramli dan MP Seremban Anthony Loke didakwa mengikut Seksyen 15(3) Akta Perhimpunan Aman atas tuduhan menganjurkan perhimpunan, tak mematuhi syarat polis dan tidak memohon persetujuan pemilik padang tersebut bagi tujuan itu.

NONE Kedua-duanya turut didakwa mengikut Seksyen 9(1) akta sama atas tuduhan tidak memaklumkan kepada ketua polis daerah dalam tempoh 10 hari sebelum perhimpunan berkenaan dijalankan.

Jika disabitkan kesalahan, Rafizi dan Loke boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000 bagi setiap tuduhan tersebut.

Menurut undang-undang, beliau akan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat sekiranya jumlah denda ditetapkan melebihi RM2,000.

Seorang kakitangan ibu pejabat PKR, Muhammad Adib Ishar turut didakwa mengikut pertuduhan sama hari ini.

Empat aktivis mahasiswa yang lain – Adam Adli Abdul Halim, Safwan Anang, Ehksan Bukharee serta Mohd Bukhari Sofian – didakwa mengikut Seksyen 4(2)(b) akta sama atas tuduhan berhimpun di tempat larangan di perkarangan Masjid Abdul Rahman, Universiti Malaya pada hari sama.

NONE Pasukan pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh memohon agar setiap tertuduh dikenakan ikat jamin RM5,000 namun dibantah oleh peguam yang mewakili Adam Adli, N Surendran.

Surendran berkata, jaminan tidak perlu bagi kes saman seperti ini.

Hakim Mat Ghani Abdullah kemudiannya memutuskan agar kesemua tertuduh dilepaskan dengan bon jaminan tanpa cagaran.

Surendran serta seorang lagi peguam Latheefa Koya turut mewakili Rafizi dan Adib dalam kes tersebut, manakala Loke diwakili peguam Thomas Su.

Tiga lagi aktivis siswa tersebut diwakili peguam Murni Hidayah Anuar.

Mahkamah turut menetapkan tarikh perbicaraan bagi kes ke atas Rafizi, Anthony dan Adib pada 7 dan 8 Oktober serta 9,10 dan 12 Disember depan.

Perbicaraan kes bagi empat aktivis mahasiswa itu pula akan berjalan pada 21 hingga 24 Oktober.

Turut hadir di mahkamah hari ini ialah ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan penasihat DAP, Lim Kit Siang.