Polis: Proses pengundian PRK Kuala Besut lancar
Proses pengundian pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut melibatkan lapan pusat mengundi berjalan lancar dan terkawal setakat 12 tengah hari.
Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Hamzah Mohd Jamil berkata pihaknya berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian di semua pusat tersebut meskipun terdapat kekecohan kecil di beberapa pusat mengundi.
Katanya sejak pusat pengundian mula dibuka 8 pagi tadi, hampir 31 peratus pengundi telah menjalankan tanggungjawab sehingga 10 pagi.
"Setakat ini kami berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian dan sejak 6 pagi, pasukan keselamatan telah ditempatkan di seluruh pusat pengundian bagi memastikan semua dalam keadaan baik," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di Kuala Besut hari ini.
Menurutnya keadaan trafik agak perlahan di beberapa tempat kerana pertembungan dengan penduduk yang keluar bekerja dan sikap pemandu yang memperlahankan kenderaan mereka.
Beliau turut meminta penyokong kedua-dua parti bertanding agar mematuhi arahan yang ditetapkan bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku.
Kira-kira 3,000 anggota polis termasuk 200 pegawai terbabit dalam PRK Kuala Besut bagi mengawal perjalanan kempen dan hari mengundi, sejak 12 Julai lalu.
PRK itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman menentang calon PAS Endot@Azlan Yusof.
Ia diadakan berikutan kematian penyandang kerusi DUN Kuala Besut Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun lepas akibat kanser paru-paru.
- Bernama

