MP: K'jaan salah guna kuasa bayar gaji penyelaras BN
MP Batu Gajah V Sivakumar menuntut kerajaan menghentikan bayaran gaji kepada penyelaras BN di kawasan parlimen yang gagal dikuasai parti itu dalam pilihan raya umum lalu
Katanya, bayaran gaji berkenaan – didakwa melibatkan kos RM6.7 juta setahun – merupakan penyalahgunaan kuasa kerajaan kerana jawatan penyelaras parlimen berkenaan merupakan lantikan politik dan bukannya dibuat oleh suruhanjaya perkhidmatan awam.
Beliau mendakwa, wang berkenaan juga dibelanjakan dengan tidak amanah kerana kerajaan tidak menjelaskan butiran perbelanjaan tersebut.
“Dalam jawapan yang diberikan di Dewan Rakyat, kerajaan tidak mengetahui atau mempunyai apa-apa rekod bagaimana wang yang dibayar itu dibelanjakan oleh penyelaras kawasan parlimen itu.
“Wang kutipan cukai daripada rakyat disalah gunakan untuk tujuan politik BN. Penyelaras kawasan itu hanya menganjurkan program politik untuk BN,” katanya.
Tambahnya, beliau tidak akan mempersoalkan bayaran gaji berkenaan sekiranya ditanggung oleh parti.
“Tetapi, membayar gaji mereka melalui dana kerajaan adalah satu salah laku dan penyelewengan yang patut dielakkan,” katany dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, penyelaras BN tersebut menikmati gaji berjumlah RM5,680 sebulan, yang kemudiannya dinaikkan kepada RM6,265 berkuatkuasa Jun tahun lalu.
“Oleh yang demikian jumlah gaji yang perlu dibayar oleh kerajaan berjumlah RM RM557,585 setiap bulan.
“Dalam tempoh satu tahun, jumlah gaji yang dibayar kepada penyelaras-penyelaras kawasan Parlimen ini berjumlah RM6,691,020,” katanya.

