DAP mahu tindakan dikenakan pada Utusan
Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng menggesa agar tindakan dikenakan ke atas akhbar milik Umno, Utusan Malaysia kerana mendakwa polis akan menggunakan Akta Hasutan bagi menangani kes penyebaran gambar mengenai kantin SK Seri Pristana.
Katanya, kerajaan perlu membuat tindakan ke atas Utusan Malaysia mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 atau Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas laporan didakwa palsu itu.
Katanya, Seksyen 8A akta penerbitan itu memperuntukkan hukuman denda RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan menyiar berita palsu.
Seksyen 233(1) akan komunikasi pula memperuntukkan hukuman denda maksimum tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, bagi kesalahan sama, kata Lim.
Laporan
Utusan Malaysia
semalam memetik kenyataan pemangku ketua polis Selangor Datuk A Thaiveegan yang memberi
amaran
untuk mengenakan tindakan mengikut Akta Hasutan ke atas individu yang menyebar gambar tersebut.
Gambar yang dimaksudkan itu merujuk kepada gambar yang tersebar di Facebook, menunjukkan murid bukan Islam makan di bilik persalinan SK Seri Pristana.
Thaiveegan bagaimanapun dalam laporan Sin Chew Daily hari ini menafikan bahawa beliau membuat kenyataan untuk menggunakan Akta Hasutan.
Katanya, akhbar berkenaan tersalah petik kenyataannya.

