Ulama pertahan undang-undang syariah bendung jenayah
Persatuan Ulama Malaysia (PUM) bersetuju dengan cadangan Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan supaya undang-undang syariat Islam diperkenalkan di negara ini bagi membanteras kegiatan jenayah yang semakin serius.
Setiausahanya, Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, undang-undang syariat Islam bagi membanteras jenayah juga harus diguna pakai kepada orang bukan Islam.
Menurutnya, golongan itu tidak perlu berasa bimbang atau takut dengan undang-undang tersebut kerana ia turut menjaga kepentingan mereka.
"Kita yakin undang-undang yang dicipta Allah ini adalah undang-undang untuk jaga manusia dan dibuat untuk jaga lima perkara maqasid syariah utama dalam Islam. (Undang-undang syariat Islam) bukan sahaja untuk orang Islam tetapi termasuk bukan Islam juga," katanya ketika dihubungi
Malaysiakini
.
Nasrudin semalam, mencadangkan supaya sistem perundangan syariat Islam digunakan sebagai alternatif membanteras jenayah memandangkan sistem yang sedia ada dilihat tidak berjaya.
Menurutnya, daripada data sampel yang dikumpul dari paparan media sejak 1 April hingga 30 Julai tahun ini, sebanyak 15 kes jenayah melibatkan senjata api, pedang dan parang melibatkan pelbagai kelas masyarakat.
Bagi merealisasikan cadangan itu Roslan berkata, sistem perundangan perlu menyatukan sistem perundangan sivil dan Islam bagi memudahkan pelaksanaan undang-undang syariat Islam meliputi semua kaum.
Bagi tujuan itu juga, tambahnya, badan berkaitan peguam dan kehakiman perlu duduk bersama NGO Islam dan ahli akademik bagi membincangkan perkara itu.
"Sudah sampai masa kita harmonikan perundangan Islam dan sivil supaya dapat dilaksana di Malaysia dan boleh bergerak ke arah perundangan yang satu, bukan perundangan sekarang yang ada dua sistem dalam negara," kata Roslan.
Peguam tolak, M'sia negara 'sekular'
Sementara itu, peguam dan aktivis perlembagaan, Syahredzan Johan pula berkata, beliau tidak bersetuju sekiranya undang-undang syariat Islam diperkenalkan bagi mengatasi masalah jenayah di negara ini.
Pengerusi kempen Perlembagaanku itu berkata, sekiranya undang-undang tersebut dilaksanakan, ia dikhuatiri akan menimbulkan masalah ketidaksamarataan antara orang Islam dan bukan Islam dari segi pelaksanaan hukuman.
"Undang-undang syariah memang ada tetapi tak ada kena-mengena dengan jenayah seperti mencuri. Yang ada di Malaysia ialah jenayah syariah yang bergantung pada undang-undang negeri dan hanya beroperasi ke atas mereka yang beragama Islam.
"Bila Nasrudin buat cadangan itu saya rasa tak boleh membantu dari segi mengurangkan kadar jenayah sebab undang-undang Islam, ke atas orang Islam. Bagaimana orang bukan Islam yang lakukan jenayah?
"Jika mereka (orang bukan Islam) dikenakan undang-undang biasa mungkin ada masalah di mana terdapat ketidaksamarataan antara orang Islam dan bukan Islam dari segi penghukuman," jelasnya.
Menurutnya lagi, jenayah yang semakin berleluasa kini sebenarnya bukan disebabkan kegagalan undang-undang tetapi kegagalan pelaksanaan oleh pihak polis.
"Masalah paling besar ialah kerajaan tak mahu mengaku kita ada masalah jenayah," katanya.
Ditanya berhubung pandangan PUM bahawa undang-undang sivil dan syariah boleh diselaraskan, Syahredzan berkata beliau tidak bersetuju kerana ia akan menyebabkan negara ini hilang "bentuk" asalnya.
"Bagi saya, saya tak setuju (selaraskan) sebab Malaysia ini bukan negara Islam, ini negara sekular...
bila undang-undang Islam dibuat di negara ini, itu dah bercanggah dengan bentuk negara ini.
"Kita akan paksa undang-undang itu kepada orang bukan Islam. Ini memerlukan satu pindaan perlembagaan untuk buat macam itu.
"Bagi saya, pindaan itu akan menukar struktur asas perlembagaan daripada apa yang asal iaitu sebuah negara sekular menjadi satu negara yang de facto-nya negara Islam. Pada pendapat saya, satu pindaan seperti itu tak ikut perlembagaan," katanya lagi.
Malaysiakini juga sedang mendapatkan penjelasan lanjut daripada Nasrudin berhubung cadangannya itu tetapi setakat ini belum berhasil.

